Sunday 25 December 2011

Our Journey~ (Part II)

Salam

Kembali bersiaran dari teratak bonda.

Sambungan kisah yang lepas. Memandangkan pilihan ketiga memerlukan bajet yang tinggi, maka sy juga turut mencuba pilihan keempat sebagai alternatif untuk pulang ke teratak bonda.

Dijadikan cerita, kali pertama menaiki keretapi bersama si kecil, sy dapat katil bawah, memang itu hajatnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan sy, Madihah sudah pun tidur semasa dalam perjalanan ke stesen keretapi. Maklumlah, tiket pukul 11.00 malam, jadi memang wajarlah Madihah sudah tertidur. Sepanjang perjalanan, Madihah terus tidur lena. Bunyi bising keretapi langsung tidak mengganggu tidurnya. Kecuali jam 3.00 pagi, Madihah terjaga minta susu. Selebihnya, Madihah terlena dek ayunan dan lenggokan sang keretapi sehinggalah kami selamat sampai di KL Sentral.

Lain pula ceritanya di kala perjalanan pulang ke Penang, kami dapat katil atas dek kehabisan katil bawah. Mahu atau tidak, terpaksa juga digagahi. Seperti sebelumnya, Madihah sudah terlena ketika kami baru sampai di KL Sentral. Dengan sekuat tenaga, sy angkat Madihah ke katil atas, beg besar ditinggalkan di bawah. Sekali lagi Allah permudahkan, Madihah terus lena dibuai ayunan keretapi. Cuma sy tidak dapat tidur lena kerana risau dengan pergerakan si kecil.

Dari pengalaman di atas, perjalanan menaiki keretapi bagi saya adalah pilihan yang tidak merugikan. Lebih jimat dan masih selesa. Tambahan pula, menaikinya di waktu malam membolehkan kita memilih katil dan dapat tidur dengan selesa. Perjalanan yang panjang juga seakan tidak terasa apabila sudah asyik dibuai mimpi. Dan untuk pulang ke Penang selepas ini, sy akan menaiki keretapi sekali lagi. Tetapi yang pasti, sy mahukan katil bawah. Lebih luas dan lebih menjamin keselesaan.

Jom kita layan....








'Ala kulli hal, selepas ini saya tidak risau lagi sekiranya perlu pulang berdua bersama si kecil. Jika kewangan mengizinkan, tentulah akan memilih yang lebih pantas. Jika tidak, keretapi akan menjadi pilihan utama.

Pengalaman adalah suatu pengajaran terbaik! =)

Our Journey~ (Part I)

Salam

Bersiaran sempena cuti study week~
(orang bagi cuti untuk belajar bukan untuk bercuti, hihi)

Coretan kenangan buat anakanda Khairin Madihah >> Catatan perjalanan kami berdua :

Sejak berhijrah ke Pulau Mutiara, terkadang ada masanya saya pulang ke teratak bonda hanya berdua sahaja bersama si kecil lantaran suami tidak dapat pulang bersama kerana tuntutan kerja.

Isunya adalah - bagaimana untuk pulang berdua bersama Madihah?

1. Pulang menaiki kereta akan mengambil masa antara empat sehingga lima jam. Berdua dengan cek mek sahaja? Bukan tidak boleh tetapi agak susah (membawa kereta sambil melayan karenah cek mek terutamanya jika cek mek inginkan susu).

2. Pulang menaiki bas? Semestinya bukan pilihan utama kerana masa yang panjang dan keadaan yang agak kurang selesa jika membawa bersama si kecil.

3. Pulang menaiki kapal terbang? Pastinya sangat selesa dan cepat! Itu pun jika ada bajet lebih...

4. Pulang menaiki keretapi? Masanya agak panjang, tetapi jika mengambil coach katil dan Madihah tidur sepanjang malam, mungkin ia tidak menjadi masalah.

5. Pulang menaiki... sudah tiada pilihan.

Alkisahnya, pertama kali pulang berdua, saya memilih pilihan ketiga. Memikirkan ini adalah pertama kali pulang berdua tanpa abah, risau juga. Kali pertama naik flight, Madihah meragam juga, menangis dalam kapal terbang sehingga menarik perhatian semua penumpang & pramugari, huhu.. Nasib baik masa perjalanan tidak panjang, sabar sahajalah untuk seketika. Kali kedua, Madihah tertidur. Agak lega tetapi susah juga sebenarnya kerana terpaksa mengendong si kecil sambil menarik beg. Kedua-dua situasi ini berlaku ketika si kecil belum menginjak ke usia dua tahun.

Dan yang terkini, Madihah sudah berusia 2 tahun 8 bulan. Madihah sudah besar, tidak menangis mahupun tidur tetapi teruja! Sebelum naik, "Wah, kabam (kapal terbang)!! (Sambil menunjuk sepenuh perasaan, senyuman tidak lekang di bibirnya) Madihah suka? Suka! Suka!" Duduk di seat sebelah laluan penumpang, semua aktiviti orang lain ingin dilihatnya. Semasa turun, "Masyih, bye (kepada sang pramugari)". Selepas turun, "Bye kabam! Bye kabam! (berulang kali sambil melambai-lambai)".

Seronok melihat telatah si kecil yang semakin mengenal dunia di sekelilingnya. Pelbagai keletah dan aksi. Mujurlah Madihah tidak meragam. Good girl anak mama =)

Antara aksi-aksi awal si kecil....






Aksi-aksi terkini.....








Ada rezeki kita naik lagi ye sayang =)

Kita sambung cerita lagi di Part II!

Tuesday 6 December 2011

Hampir tiada masa...

Salam

Semester yang paling mencabar setakat ini. Subjek semakin berat. Tugasan semakin banyak. Dan paling menambahkan cabaran, hampir kesemua tugasan berbentuk kumpulan. Oh! Memang sangat memerlukan kesabaran dan kekuatan.

7 tugasan berkumpulan dan 3 tugasan individu. Memang hampir tiada masa. Tidur jam 2 pagi menjadi kebiasaan akhir-akhir ini, aduh..

Tidak boleh membuang masa, malam ini pun ada perjumpaan kumpulan. Perlu menyiapkan diri.

Jumpa lagi.

Tuesday 8 November 2011

Salam Eidul Adha 1432 H

Salam

Memasuki 12 Zulhijjah, hari ketiga Aidil Adha.

Raya haji tahun ini sy berkesempatan pulang ke kampung nenda di Yan, Kedah. Memandangkan suami perlu bekerja dan tidak mendapat cuti panjang, kami memutuskan untuk pulang ke Kedah sahaja. Lebih dekat dan tidak memerlukan perjalanan yang panjang. Tambahan pula, keadaan tok wan yang tidak sihat perlu diambil kira.

Alhamdulillah, ini kali pertama beraya di rumah baru tok & wan. Kali pertama juga semua sanak saudara berkumpul di rumah baru. Bersebelahan dengan rumah pak njang menjadikan suasana lebih meriah dan happening.







Salam Eidul Adha 1432 H buat seluruh umat Islam di seantero dunia.

>> Sudah boleh daftar Haji dari sekarang untuk booking tempat ke Mekah. Agak-agaknya tahun bila ye boleh ke sana? Semoga akan ada ruang dan peluang untuk ke rumah Allah, InsyaAllah.

Thursday 3 November 2011

LIMA~

Salam

Hari ini - 03/11/11

LIMA - hadirnya selepas empat, munculnya sebelum enam, duduknya di tengah-tengah di antara satu dan sepuluh.

LIMA :
Lima tahun hidup bersama,
Lima tahun melayari bahtera,
Lima tahun mahligai dibina,
Lima tahun menyemai cinta,
Lima tahun seia dan sekata.

.........................>>><<<.........................

Especially for my hubby;
May you always feel as loving as you do on this day
May you always find happiness at home
and may it be a refuge from the storms in our life
May your love grow ever stronger as you share your life together
May our future be more wonderful than we ever dreamed possible
and...
May all the days ahead be happy ever after....

.........................>>><<<.........................




Semoga terus istiqamah dalam perjalanan menuju redha Allah, insyaAllah.
Bukan hanya untuk lima tahun, tetapi untuk lima belas, lima puluh, dan selama-lamanya hingga ke Firdausi =)

Thursday 6 October 2011

Individu itu unik!

Salam

Hari ini sy terasa ingin mencoretkan tentang ilmu yang telah dipelajari. Sy kini sedang menyambung pengajian dalam bidang Kerja Sosial dan ia banyak berkait dengan bidang kerjaya sy.

Jika dihitung, sudah hampir lima - enam tahun sy meninggalkan alam pengajian yang terdahulu. Kemudian berada di alam kerjaya selama hampir lima tahun. Kini, apabila kembali semula ke alam pengajian, banyak perkara yang sy pelajari. Bukan sekadar ilmu yang ditimba, bahkan Alhamdulillah ilmu tersebut banyak diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Menyelak sedikit ke dalam ilmu Kerja Sosial - antara falsafah Kerja Sosial ialah menghormati individu dan percaya kepada keunikan setiap individu. Memasuki tahun kedua pengajian, sy semakin banyak mengenali ramai individu, bukan sekadar para pelajar malah pensyarah dan juga kakitangan sokongan yang lain. Tugasan yang diberikan juga semakin banyak diadakan secara berkumpulan. Perkara ini menyebabkan sy sering memerhati dan menilai semula setiap personaliti yang sy temui. Bukan menghukum atau memberikan tanggapan negatif kepada mereka, tetapi mengagumi dengan setiap keunikan yang ada pada setiap individu.

Ketika di alam kerjaya sebelum ini, perkara yang sama juga sebenarnya memang berlaku. Bukan sahaja sy, malah sy percaya semua orang mengalami pengalaman yang sama. Namun, sy sekadar ingin berkongsi kenangan ketika berada di alam pengajian kini.

Suatu ketika dahulu, sy berada di kalangan rakan-rakan sepengajian yang seusia dan hampir sebaya. Namun kini, sy bercampur dengan individu yang rata-ratanya lebih muda dan terdapat juga segelintir individu yang jauh lebih berusia. Terdapat situasi yang menuntut sy berperwatakan sebagai seorang kakak atau individu yang lebih matang. Ada juga situasi menuntut sy sebagai individu yang lebih muda dan mengharapkan bimbingan dari mereka yang lebih berusia. Malah terdapat situasi menuntut sy sebagai seorang pelajar yang perlu mengikut segala kehendak dan pendapat individu lain tanpa banyak soal.

Ada ketikanya bukan semua personaliti yang kita senangi, namun kehendak tugasan/tanggungjawab menuntut kita untuk terus berinteraksi dan berkolaborasi bersama mereka. Di sinilah banyak menuntut kesabaran dan ketabahan hati. Sesunguhnya pengalaman di alam pengajian kali ini sungguh berbeza dan semakin mendewasakan sy dalam menghadapi pelbagai personaliti manusia.

Walau terkadang sy kalah dan berasa kecewa, namun pengalaman yang mendewasakan menuntut sy untuk tidak terlalu mengikut kata hati kerana bimbang perkara yang lebih buruk akan terjadi. Apa yang boleh dibuat, ikhlaskan hati dan memohon kekuatan dan pertolongan dari Allah.

Semoga sy terus diberi kekuatan dan petunjuk dari Allah dalam meneruskan perjuangan sebagai pelajar dan seterusnya menjalani kehidupan sebagai khalifah Allah. Rabbi yassir wala tu'assir, Amin.

Monday 3 October 2011

Catatan hari ini...

Salam

Hari ini - 03/10/2011

1. Pagi tadi sempat ketip kuku kaki Madihah, hihi..

2. Berkesempatan pergi ke PC Fair di USM dan beli ink untuk printer. Bila balik dan pasang, warna hitam tak keluar, keluar bahagian yang berwarna sahaja, adoii...apa masalah pula ni??

3. Hajat di hati nak pergi jumpa rakan sekuliah di biliknya, sambil tunggu sambil makan, tapi akhirnya tak dapat jumpa juga, huhu...

4. Jiran sebelah merangkap coursemate dapat baby baru, nak ajak Madihah pergi tengok baby =).

5. Hari ini tiada kelas.

6. Petang-petang makan aiskrim & nugget dengan si kecil.

7. Ada sebulan lagi sebelum menjelang tarikh bersejarah =).

Sekian.

Tuesday 27 September 2011

Musafir di Aidilfitri~

Salam 30 Syawal 1432H

Sudah berada di penghujung Syawal barulah sy berkesempatan mencoretkan sedikit kenangan di Aidilfitri. Bukan kerana sibuk beraya tetapi mungkin kerana sibuk dengan sesi pengajian yang baru bermula.



Mari kita ikuti kisah sang musafir di Aidilfitri :

1. Pulau Pinang - Kedah

Sehari sebelum menjelang 1 Syawal 1432H, sy sekeluarga pulang ke kampung tok di Yan, Kedah. Seluruh anggota keluarga sy berada di kampung, memang sangat meriah. Sedari pagi kami bergotong royong mengemas rumah tok dan menyediakan juadah berbuka terakhir bagi tahun ini serta tidak dilupakan juadah di pagi raya.

Pagi 1 Syawal disambut dengan penuh gembira. Bermula dengan solat sunat Aidilfitri, sesi bermaafan dan seterusnya sesi ziarah menziarahi mengisi slot dari pagi membawa ke petang. Pada sebelah malam, masing-masing merehatkan diri yang kepenatan.

2. Kedah - Kelantan

Menjelang 2 Syawal, sy sudah siap berkemas untuk pulang ke kampung suami pula. Jam menunjukkan ke angka 10 pagi apabila kami memulakan perjalanan. Alhamdulillah, walaupun jumlah kereta meningkat di jalan raya, kami selamat tiba di Kelantan pada sebelah petang.

Keesokan harinya, kami meneruskan acara menziarahi saudara mara. Namun sedikit kecewa, jumlah kenderaan yang tersangat banyak membantutkan sedikit misi kami untuk terus beraya. Menjelang malam, sesi membakar sate pula mengambil tempat (sesi ini menjadi amalan tradisi di kampung suami setiap kali menjelang Lebaran).

Masuk hari ke-4 Syawal, kami mengadakan 'makan besar' bersama ahli keluarga. Sudah semestinya masakan di sebelah selatan Thailand menjadi menu utama. Bagi sy yang kurang arif, hanya mampu menolong sekadar yang mampu =).

3. Kelantan - Selangor

Seawal jam 4.00 pagi pada 5 Syawal sy sudah bersiap sedia untuk pulang ke teratak bonda. Kami sengaja memilih untuk bertolak di awal dinihari bagi mengelakkan tersangkut dalam ribuan kenderaan di jalan raya. Alhamdulillah, rancangan kami berjaya dan selamat sampai tanpa perlu menempuhi perjalanan yang panjang seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan kami menghabiskan masa lebih kurang tiga hari untuk beraya di sekitar Lembah Klang.

4. Selangor - Pulau Pinang

Memasuki 8 Syawal, sy sekeluarga kembali semula ke Pulau Mutiara. Perlu menyambung kembali tugas setelah bercuti lama. Sy juga perlu mendaftar masuk ke semester yang baru.

5. Pulau Pinang - Kedah - Pulau Pinang

Memandangkan masih berada dalam mood hari raya, cuti hujung minggu diisi dengan menziarahi sahabat lama di Sg. Petani. Lama sungguh tidak bertemu, banyak cerita yang kami kongsikan.

6. Pulau Pinang - Selangor - Pulau Pinang

Minggu terakhir Syawal, sekali lagi sy sekeluarga pulang ke teratak bonda. Masih menikmati nikmatnya berhari raya, kami memenuhi beberapa jemputan rumah terbuka di samping menziarahi saudara terdekat.

Warna-warni di Aidilfitri.....












InsyaAllah, panjang umur murah rezeki kita akan berjumpa lagi di Lebaran yang akan datang =)

Monday 19 September 2011

Jelajah > Feri Pulau Pinang

Salam

Melanjutkan cerita mengenai laluan ke Pulau Mutiara, selain Jambatan Pulau Pinang, terdapat juga perkhidmatan feri disediakan bagi kemudahan orang ramai. Perkhidmatan Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia. Perkhidmatan feri terkenal ini menghubungkan Terminal Feri Pulau Pinang di Butterworth ke Terminal Feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town.



Mengikut sejarah yang sy baca di Internet, perkhidmatan feri pertama di Pulau Pinang bermula sejak tahun 1894 oleh seorang pengusaha persendirian; Encik Quah Beng Kee dan saudara-saudaranya. Walau bagaimanapun, reka bentuk feri pada masa itu bukan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini. Feri pada masa itu hanya merupakan lanci-lanci kecil yang menggunakan kuasa wap untuk berjalan dan hanya dapat mengangkut penumpang dan barang-barang yang terhad sahaja kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan bermotor. Manakala lokasi pendaratan feri pada waktu itu adalah di antara Jeti Kedah di Pulau Pinang dan beberapa tempat pendaratan di Seberang Perai.

Kini, pelabuhan Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan feri mulai jam 5.30 pagi sehingga jam 1.00 pagi. Feri-feri tersebut yang membawa penumpang pejalan kaki dan kenderaan di dek atas dan kenderaan di dek bawah tersebut berlepas dari terminal setiap lapan minit pada waktu puncak dan frekuensinya berkurangan menjelang tengah malam. Perjalanan feri mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer.

Perkhidmatan feri ini beroperasi dengan lapan buah feri yang diberi nama Pulau Undan, Pulau Angsa, Pulau Rimau, Pulau Pinang, Pulau Payar, Pulau Kapas, Pulau Rawa dan Pulau Talang-talang.

Kadar tiket yang dikenakan adalah seperti berikut :

1. Pejalan kaki dewasa - RM1.20
2. Pejalan kaki kanak-kanak (5 hingga 12 tahun) ialah RM0.60.
3. Tiket Semusim (pejalan kaki) Dewasa : RM30.00 – sah dalam tempoh dua bulan sejak tarikh tiket dikeluarkan.
4. Penumpang istimewa Kanak-kanak sekolah : RM0.60
5. Kad Orang Kurang Upaya : Percuma
6. Kenderaan bermotorBasikal: RM1.40
7. Motosikal (termasuk pembonceng): RM2.00
8. Beca/pacuan tiga roda: RM3.00
9. Motokar (termasuk van, pacuan empat roda, kenderaan komersial pacuan tiga roda, motosikal dengan kereta sebelah): RM7.70
10. Lori (2 gandar dengan 4 roda): RM13.20
11. Lori (2 gandar dengan 6 roda): RM27.50

Sedikit gambaran suasana di atas feri.... Layannnn....











Gambar-gambar di atas diambil dalam dua versi : Madihah kecil dan Madihah besar!

Bagi sy, perkara yang paling seronok menaiki feri ialah dapat merasai tiupan angin yang sangat kuat! Tengok sahajalah rambut Madihah yang mengerbang ke atas itu! =)

Ok lah, tamat cerita mengenai feri, apalagi yang menarik di Pulau Mutiara ya? Oh sangat banyak, nanti akan diceritakan satu per satu.

What's next?

Saturday 17 September 2011

Jelajah > Jambatan Pulau Pinang

Salam

Cerita pertama mengenai penjelajahan di Pulau Mutiara - Jambatan Pulau Pinang! Tempat pertama yang perlu dilalui untuk ke Pulau Mutiara sudah pasti adalah jambatan ini.



Dari Lebuhraya Utara Selatan, papan tanda George Town dengan gambar jambatan menunjukkan arah ke jambatan ini. Sebaik memasuki jalan ke arahnya, terdapat plaza tol yang menunggu. Kadar tol bagi kenderaan biasa (kereta) bagi orang luar adalah RM7.00 dan RM5.60 bagi penduduk tempatan Pulau Pinang (dengan menggunakan Touch n Go @ Smart Tag). Bayaran tol hanya dikenakan pada laluan satu hala sahaja dan bagi laluan kenderaan yang keluar dari arah pulau ke tanah besar, tiada bayaran tol dikenakan. Tempoh masa melalui jambatan ini adalah lebih kurang 15 minit bergantung kepada keadaan trafik. Jika melaluinya pada waktu kemuncak, ia tidaklah selancar seperti yang diharapkan.

Sedikit maklumat hasil carian di Internet, Jambatan Pulau Pinang adalah merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Panjang jambatan ini kira-kira 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Jambatan ini menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Perai.

Kerja pembinaannya bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985, hanya memakan masa selama tiga tahun sahaja dan memakan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara kerana ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia.

Jom kita layan...









Semua gambar diambil semasa sy mula menyambung pengajian di Pulau Mutiara =).

Coming up next : Feri Pulau Pinang!

Total Pageviews