Sunday 14 April 2013

Minggu pertama~

Assalam

Menyambung lagi catatan Diari Madihah (macam diari mama juga sebenarnya).

Mama menghabiskan masa berpantang di rumah tok. Mama menggunakan Set Bersalin Leesa Formula. Inilah wajah-wajah Madihah seawal minggu pertama :

Hari ke-3
Tengok muka Madihah nampak macam kena jaundice kan? Risau juga dibuatnya.

Hari ke-4
Nurse dari KK datang melawat Madihah dan mengesahkan Madihah kena jaundice. Mama bawa Madihah ke KK dan jumpa doktor. Agak tinggi juga bacaannya (197). Doktor suruh teruskan penyususan susu ibu dan datang semula 2 hari lagi.


Hari ke-5
 
Mak ngah suruh mama beli herba untuk bayi kuning di kedai ubat cina. Mak ngah tolong mandikan Madihah dengan herba cina.Harap-harap berkurang sedikit kuningnya.

Hari ke-6
 
Mama bawa Madihah ke KK untuk periksa bacaan jaundice. Sudah berkurang sedikit (168) tetapi masih belum di tahap yang memuaskan. Datang semula 3 hari lagi.
Hari ke-7
 

Dan di minggu pertama inilah, setelah puas berfikir dan berbincang, mama dan abah telah bersepakat untuk menamakan cahaya mata pertama kami ini dengan nama KHAIRIN MADIHAH yang bermaksud Kebaikan yang terpuji. Boleh lihat sejarah nama Madihah di sini. di sini


>>> Bersambung di minggu kedua.

Friday 12 April 2013

12 April~

Assalam

Wordless Friday : Birthday Khairin.

HAPPY 4th BIRTHDAY sayang!
 
Semua gambar tiada kaitan dengan usia 4 tahun (",)


Thursday 11 April 2013

Detik kelahiran Madihah~

Assalam

Menyambung catatan diari Madihah. Memasuki pula fasa kelahiran. Dulu mama pernah cerita juga dalam link ini.

Tarikh jangkaan mama akan bersalin ialah pada 19 April 2009. Semua keperluan Madihah dan mama dibeli seawal usia kandungan 6-7 bulan rasanya. Mama tidak beli semuanya sekali gus. Tetapi beli sedikit demi sedikit mengikut keadaan. Kedai pertama yang mama dan abah pergi adalah Manjaku di Bangi. Banyak juga yang mama borong masa itu. Al-maklumlah, kali pertama membeli keperluan bayi, sangat excited!. Rupanya di Ampang pun ada Manjaku juga, senanglah mama selepas ini. Dan untuk pengetahuan Madihah, mama banyak beli baju dan barang-barang baby yang berwarna putih dan biru. Mungkin sebab mama dan abah menjangkakan bayi lelaki memandangkan perut mama agak tajam ke depan. Dan mungkin juga kerna mama sukakan warna biru!

Jumaat - 10 April 2009
Mama sudah mengisi borang cuti rehat selama seminggu sebelum due. Cadangnya mama mahu pulang berehat dua tiga hari ke rumah tok. Kemudian, berehat di rumah kita sehinggalah mama bersalin. Sambil itu, bolehlah mama mengemas beg untuk dibawa ke hospital nanti.

Sabtu - 11 April 2009
Mama dan abah pulang ke rumah tok. Kebetulan, pak long dan mak ngah juga ada. Meriah rumah tok bila semua anak-anaknya pulang. Petang itu, mama mengajak abah ke Tesco. Mama hanya mahu berjalan-jalan sahaja. Puas mama dan abah pusing satu Tesco. Masa itu, mama sudah rasa lain macam, rasanya seperti Madihah sudah berada di bawah dan seperti mahu bersalin pada saat itu juga. Cuak juga. Tetapi mama cuba cool down dan ajak abah makan donut (rasanya itu makanan terakhir sebelum bersalin).

Malam hari, sedang semua orang menonton tv (Slot Cerekarama TV3), mama sudah mula rasa sedikit sakit. Namun, mama biarkan. Maklumlah, mama tidak tahu bagaimana sakitnya kontraksi. Lagipun, tarikh jangkaan bersalin adalah minggu hadapan. Sempat juga tok tanya pada mama 'Ada rasa sakit tak?' Dan mama tanya semula, 'Rasa sakit itu macam mana?'. Tok beritahu, sakit kontraksi berlaku apabila rasa sakit sekejap-sekejap dan makin lama makin kerap. Mula-mula, jarak masa yang jauh seperti setengah jam. Bila masanya hampir tiba, rasa sakit semakin kerap selang 15 minit, 10 minit, 5 minit sehinggalah bersalin. Dalam hati mama tertanya-tanya juga, adakah ini sakit kontraksi? Mak ngah juga sempat berseloroh, 'Entah-ehtah malam ini kita semua pergi hospital tengok baby mak lang'. Mama cuma tersenyum dalam debaran.

Memasuki jam 11.00 malam, mama mula rasa sakit yang semakin kerap. Mama masuk bilik dan cuba tidur. Niatnya mahu menghilangkan rasa sakit, tidak mahu layan sangat. Pukul 12.00, abah masuk bilik dan mama beritahu yang mama sakit. Abah tanya mahu ke hospital ke? Mama menggeleng. Biarlah dulu, boleh tahan ini. Mama cuba tidur, tetapi tidak boleh. Baring terasa sakit, mengiring terasa sakit, bangun terasa sakit, duduk pun terasa sakit. Mama lihat abah yang sudah nyenyak tidur, kasihan pula mahu kejutkan abah di tengah malam.

Ahad - 12 April 2009
Jam 3.00 pagi, mama sudah tidak keruan. Tidak boleh tahan sakit lagi. Mama kejutkan abah, mama beritahu hendak balik Ampang. Abah kelam kabut bangun dan bersiap ala kadar. Mama kejutkan tok dan beritahu mama sudah rasa sakit dan hendak balik. Mama sanggup tahan sakit semata-mata mahu bersalin di Hospital Ampang. Lagipun, mama tidak bawa balik barang-barang keperluan mama dan Madihah. Abah terus pecut, memang sangat laju. Dalam setengah jam, mama sudah sampai di rumah kita. Sambil menahan sakit, mama terus siapkan beg keperluan kita.

Lebih kurang jam 5.00 pagi, mama dan abah ke hospital. Semasa di kaunter pendaftaran, staf yang bertugas itu seperti tidak mahu membenarkan mama masuk. Alasannya, mama hanya rasa sakit sahaja dan tidak keluar apa-apa tanda untuk bersalin. Abah berkeras mahu mama dimasukkan ke hospital. Dan akhirnya mama ditolak dengan kerusi roda ke bilik pemeriksaan wad bersalin. Baju ditukar kepada sepersalinan baju hospital. Wayar dipasang untuk merekod kadar kontraksi dan denyutan jantung Madihah. Tangan mama dicucuk untuk diambil darah dan dimasukkan air. Masa itu, sakitnya sudah kemuncak. Sesekali mama menyebut 'Aduh, sakit...sakit...' Dalam hati, mama tidak lupa berdoa, berselawat, berzikir dan membaca ayat-ayat Al-Quran supaya dimudahkan bersalin.


Jam menunjukkan ke angka 6.30 pagi ketika seorang doktor memasuki ruangan mama ditempatkan. Kiraan bukaan rahim dibuat. Rupanya sudah 5 cm! Lantas, doktor segera memecahkan air ketuban mama. Apabila kiraan bukaan rahim menunjukkan 7 cm, persiapan untuk menyambut kelahiran dilakukan.

Jam 7.30 pagi, mama disorong ke labour room. Ketika itu, abah sudah pun berada di sisi mama. Mama mengadu sakit. Abah tiupkan semangat. Abah bagi mama minum air zam-zam dan air selusuh. Mama mengadu sakit lagi dan nurse minta mama menyedut gas untuk mengurangkan rasa sakit. Namun, ia langsung tidak membantu. Sakitnya hanya Allah yang tahu, sakit yang tidak pernah dibayangkan. Mama minta dibius, namun nurse tidak membenarkan kerana bukaan rahim mama sudah hampir mencecah 8 cm.

Apabila bukaan menunjukkan ke angka 9 cm, nurse menyatakan bahawa mama sudah bersedia untuk melahirkan. Mama diminta untuk meneran, mama berusaha sekuat hati, mama tidak pula mengira berapa kali. Mama hampir hilang tenaga kerana mama tidak makan sejak malam tadi. Nurse mula bising dan menyatakan sudah nampak kepala Madihah. Nurse panggil abah dan menunjukkan kepala Madihah. Abah tiupkan lagi kata-kata semangat. Serta-merta mama jadi kuat, mama mahu lihat anak mama, dan akhirnya mama meneran dengan sekuat tenaga yang ada. Tiba-tiba, mama merasakan ada sesuatu yang meluncur keluar dari rahim mama. Alhamdulillah, Madihah sudah selamat dilahirkan tepat jam 8.49 pagi dengan berat 2.9 kg pada usia 39 minggu dalam kandungan.

Nurse angkat Madihah dan terus letakkan di atas dada mama. Bayi perempuan. Mama tersenyum. Hilang sekejap semua kesakitan tadi. Mama cium Madihah. Mama rasa sangat bahagia. Mama sudah bergelar seorang ibu =). Dan kemudian abah iqamatkan Madihah.

Selesai nurse mengeluarkan uri dan menjahit semula bahagian yang digunting, mama diberi minum secawan air milo. Dahaganya rasa! Mama kemudian ditolak ke wad bersalin. Mama mengadu lapar dan abah segera ke kantin. Mama pangku Madihah sambil menghantar SMS kepada semua kenalan mengkhabarkan berita gembira ini. Bertalu-talu mesej yang masuk. Mama tersenyum lagi. Abah tahnikkan Madihah dengan air zam-zam.

 


 Menjelang tengahari, tok dan semua bapa saudara, ibu saudara dan sepupu Madihah datang melawat. Rakan sepejabat mama juga datang termasuk bos mama dan isterinya. Meriah sungguh katil mama.

 




 


Malam itu, mama hanya tidur berdua dengan Madihah. Abah sudah tidak boleh menemani mama lagi. Mama hanya tidur-tidur ayam sahaja. Badan sangat penat dan sakit, tetapi Madihah perlu dijaga dan disusukan.


Isnin - 13 April 2009
Mama dan Madihah sudah dibenarkan pulang. Abah datang menjemput kita tengahari itu. Sampai sahaja di rumah, mama terus tertidur sehingga ke petang. Sungguh, mama sangat penat kerana sudah dua malam mama tidak cukup tidur. Bangun sahaja dari tidur, terus mama mengemas barang dan bertolak pulang semula ke rumah tok untuk berpantang.

Hari ke-2 : Sebelum mandi

Selepas mandi
Sudah siap tukar baju
Jom kita balik!
 
Sweet memory (",)

Bersambung...

>>Panjangnya sudah macam cerpen! =)

Tuesday 9 April 2013

Menyedari kehadiran Madihah~

Assalam

Memulakan diari sang puteri dengan cerita semasa mama mula-mula disahkan hamil.

Usia perkahwinan mama & abah sudah memasuki 1 tahun 8 bulan saat mengetahui akan kehadiran Madihah. Sedikit lewat, tetapi itulah yang dinamakan rezeki. Semuanya telah ditentukan. Sedari itu, perasaan teruja dan gembira mula menemani mama & abah setiap saat dan ketika.

Mama masih ingat, momen indah itu berlaku semasa minggu kedua bulan puasa. Mama tiba-tiba rasa pening dan terasa seperti nak pitam. Badan mama seram sejuk, raya loya tetapi tak muntah. Apabila mama pergi check, Doktor terus scan dan Madihah rupa-rupanya sudah berusia 9 minggu! =)


Selepas itu, ingatkan mama boleh puasa sebulan penuh, tetapi mama terpaksa korbankan tiga hari sebab mama mula rasa tidak bermaya dan loya-loya. Mama juga masih ingat, masa minggu pertama puasa, mama rasa sangat letih dari biasa dan hari-hari mama minum air tebu semasa berbuka. Masa itu, mama belum tahu tentang kewujudan Madihah. Alhamdulillah, anak mama kuat dan tidak terjejas. 

Sekali lagi Alhamdulillah, mama tidak mengalami morning sickness yang teruk. Hanya berasa loya sekali-sekala. Dan hanya muntah apabila menaiki kereta untuk berjalan jauh selain dari pergi kerja (rumah kita dan tempat kerja mama hanya memakan masa 10 minit sahaja).

Mama juga tidak mengidam sesuatu yang pelik, tetapi mama sangat suka makan buah jambu batu. Abah cari sampai ke Pasar Chow Kit. Abah juga beli air soya berkotak-kotak untuk mama. Abah tak bagi mama minum milo. Tapi mama minum juga senyap-senyap =). Mama juga beli susu Anmum seawal trimester satu dan dua. Tetapi di pertengahan sehingga bersalin, mama minum fresh milk sahaja. Mama juga banyak makan kurma dan kismis untuk perkembangan minda dan peribadi Madihah.

Abah kata mungkin anak lelaki sebab mama suka tengok cerita adventure dan mama suka pakai kain pelikat abah. Dua kali mama pergi scan untuk tengok jantina Madihah. Doktor kata mungkin perempuan sebab tak nampak. Mama terima sahaja asalkan anak mama sihat. Ada satu gambar itu, kedudukan Madihah seperti sedang sujud. Alhamdulillah, masa itu mama berdoa semoga Madihah membesar menjadi hamba Allah yang sentiasa sujud kepada-Nya. (Nanti mama upload kemudian, kena cari dulu gambarnya).

Masa mula-mula mama dapat rasa tendangan Madihah, selalunya Madihah akan kejutkan mama pagi-pagi untuk pergi kerja. Dan sekali lagi mama akan dapat rasa tendangan Madihah bila mama lambat makan sarapan. Ada suatu ketika itu, mama perlu hadir mesyuarat seawal pagi dan mama tidak sempat untuk bersarapan. Hasilnya, Madihah tendang bertalu-talu sepanjang mama bermesyuarat. Kesian anak mama kelaparan. Habis sahaja mesyuarat, terus mama makan dan terus Madihah diam =).

Semasa mengandung, mama banyak pergi ceramah, berjumpa dan bercakap dengan orang ramai. Abah kata sebab itulah Madihah peramah dan banyak cakap sekarang. Banyak cakap tidak apa, tetapi haruslah  percakapan yang baik-baik dan bermanfaat ye sayang.

Sakit belakang, sakit perut, sakit kaki, tidak lena tidur, lenguh-lenguh badan, cepat letih dan yang sewaktu dengannya itu biasalah. Lumrah wanita mengandung. Mama tahan sahaja demi anak mama yang ditunggu-tunggu sekian lama. Walaupun sakit, tapi seronok. Seronok pertama kali merasa tendangan Madihah. Seronok mendengar bunyi degupan jantung Madihah. Seronok melihat gambar scan Madihah. Seronok melihat benjolan-benjolan manja di perut mama, mungkin siku, mungkin lutut atau kaki Madihah. Seronok dapat berinteraksi dengan Madihah. Apabila mama bercakap sambil mengusap perut, apabila mama membaca Al-Quran, apabila mama solat, Madihah seakan faham dan memberikan reaksi. Perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata, mungkin naluri seorang ibu. Itulah nikmatnya mengandung.

Di penghujung trimester ke-3. Sangat bam-bam =).

Satu perkara lagi yang mama tidak boleh lupa, dua kali mama kena warning dengan nurse masa pergi check up sebab overweight. Berat mama naik dua kali ganda untuk bulan tersebut. Jumlah keseluruhan sepanjang pregnant, berat mama naik 19 kg! Lebih dari yang sepatutnya. Mula-mula mama rasa kelakar juga sebab mama memang sentiasa kurang berat, tidak ideal dengan ketinggian. Tiba-tiba boleh overweight, merasa jugalah mama berdiet, semata-mata tidak mahu minum air gula. Alhamdulillah, diet berhasil dan berat naik seperti normal.

Mama dan abah dalam debaran~

Alhamdulillah, mama berjaya mengharungi tempoh kehamilan dengan baik. Suatu nikmat yang sangat disyukuri kerna bukan semua individu dapat merasainya. Doa mama, semoga mama dapat melalui pengalaman ini lagi dalam waktu yang terdekat. 

Mama sudah lama rindu untuk hamil semula!

It's April~

Assalam

Mac sudah berlalu, dan April sudah mula menjengah.

Selang tiga hari lagi, hari kelahiran sang puteri bakal menjelma buat kali ke-4. Itu cerita kemudian. Mama bercadang untuk menukilkan sebuah diari buat kenang-kenangan sang puteri pabila dewasa kelak. Ya, tidak dinafikan nukilan-nukilan tentang sang puteri memang sering mama ceritakan di sini dan sedang mengungguli carta dengan label Si Jantung Hati. Itu terlalu umum, kadang hanya gambar sahaja tanpa cerita. Yang ini mungkin lebih terperinci. Cerita dari awal kewujudan sehingga ke hari-hari kemudian.



 Dengan itu, post untuk bulan April ini dikhususkan untuk sang puteri sahaja sempena bulan kelahirannya (berapa banyak post la agak-agaknya itu ye?).

Tunggu dan lihat =).

Total Pageviews