Showing posts with label Dapur Mama. Show all posts
Showing posts with label Dapur Mama. Show all posts

Saturday, 1 December 2012

Singgang Daging & Daging Goreng~

Assalam

Hello my dear! Long time no see...huhu.. I'm sorry because I'm very busy for this moment. Got 7 assignments and 4 presentations to settle down. Fuuuhhhhhhh...

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menjenguk ke blog kesayangan. Banyak cerita yang bermain di kepala, cuma tidak punya masa untuk dizahirkan.

Jom kita mulakan dengan entry masak-memasak.

Kisahnya adalah rentetan dari Hari Raya AidilAdha yang lalu. Nama pun raya korban, sudah pastilah hidangan utama berasaskan daging lembu. Hampir dua minggu terkena penangan masakan daging, hehe..

Ceritanya bermula pada pagi raya haji. Tok korbankan seekor lembu dengan bahagian masing-masing. Masuk raya kedua, bermula episod makan daging dengan kenduri arwah buat tok wan. Gulai daging, rendang hati serta lidah & perut cicah air asam. Semua bahagian lembu pun nak makan, huhu...

Balik ke rumah seterusnya, makan pula sup tulang. Hatta makan di luar pun, nasi goreng daging dan nasi daging merah yang dipesan.

Dan akhirnya, tidak lengkap rasanya jika tidak dimasak hidangan kegemaran suami. Dan yang pastinya, hidangan kali ini punya sedikit kelainan.

Memperkenalkan........ >>>>>>

Singgang Daging

Ini adalah hidangan wajib tiap kali pulang ke kampung halaman cik abang. Selalunya kakak ipar yang akan masak dan sy bertindak selaku pembantu sahaja. Al-maklumlah, sy kurang arif mengenai masakan-masakan ala pantai timur. Tetapi hendak dijadikan cerita, raya haji kali ini sy punya keberanian untuk mencuba apabila diminta oleh suami. Resepi sudah ada, cuma tinggal diaplikasikan mengikut tunjuk ajar dari pakar, hehe...

Resepi warisan dari ibu mertua :

1/2 kg daging
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 sudu kecil biji ketumbar
2 keping asam keping
Garam secukup rasa

1. Hiris nipis daging dan rebus terlebih dahulu.
2. Hiris bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan cili kering (suami lebih suka bahan-bahan ini dihiris supaya warna kuahnya tidak akan menjadi merah)
3. Masukkan bahan-bahan yang dihiris, biji ketumbar yang telah ditumbuk, asam keping dan garam.
4. Masak sehingga daging empuk. Sedia dihidangkan.

Sebenarnya, ia tidaklah terlalu susah untuk disediakan. Caranya lebih kurang seperti memasak sup, cuma rasanya agak sedikit berbeza. Alhamdulillah, suami kata lulus seperti yang arwah bondanya masak. =)

Dan yang ini pula..... >>>>>>

 
Daging Goreng

Daging Goreng juga merupakan makanan ruji keluarga suami. Oh ya, inilah hidangan pertama dari Kelantan yang saya belajar masak. Biasanya apabila beli daging, sudah pasti hidangan ini yang didahulukan. Cara memasaknya juga sangat mudah dan senang. Sy pernah cerita di entry terdahulu daging goreng.

Jom kita lihat resepinya :

1/2 kg daging 
1 biji bawang kuning (Holland)
1 tangkai cili hijau/merah (resepi asal adalah cili hijau dari Kelantan)
1 biji kentang (sy tambah sendiri)

1. Hiris nipis daging dan rebus sehingga empuk (masak dalam kuali). Masukkan garam secukup rasa dan masak sehingga air rebusannya agak kering.
2. Kentang dipotong dadu dan digoreng seketika. Angkat dan ketepikan.
3.. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali daging tadi. Masukkan bawang kuning dan cili yang telah dihiris, goreng daging sehingga kelihatan agak garing sedikit.
3. Masukkan kentang yang telah digoreng dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

Dimakan bersama nasi panas dan cicah budu, memang suami makan nasi bertambah!

Alhamdulillah.


Sunday, 22 July 2012

Resepi Nasi Arab Berempah~

Salam 3 Ramadhan 1433H

Semalam, sy telah menyediakan Nasi Arab Berempah untuk hidangan berbuka puasa seperti yang dicoretkan di sini. Jom kita lihat resepinya!

Nasi Arab Berempah
(resepi asal dari dec_sc_girl, tq!)

6 ketul ayam                                               2 sb rempah kurma
4 ulas bawang merah                                 1/2 cawan sos tomato
3 ulas bawang putih                                   2 sb minyak sapi
1 inci halia                                                 3 cawan beras basmathi
3 kuntum bunga cengkih                             5 cawan air
3 kuntum bunga lawang                             1/2 sb lada hitam
1 batang kulit kayu manis                          1/2 sk serbuk jintan putih
1 kiub ayam                                               1/2 sk serbuk jintan manis
1/2 biji bawang besar (dimayang)            garam & gula secukupnya

Langkah 1 :
1. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putuh & halia.
2. Masukkan ayam, serbuk jintan putih, jintan manis, lada hitam, bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, kiub ayam, rempah kurma, air & bahan yang ditumbuk ke dalam periuk.
3. Masukkan garam & gula. Masak sehingga mendidih & ayam masak.

Langkah 2 :
1. Basuh beras, rendam selama 20 minit & toskan.

Langkah 3 :
1. Apabila sup ayam telah siap, asingkan ayam & sup.
2. Bahan-bahan rempah kasar yang ada dalam sup tadi dikisar sehingga halus. Gantikan air dengan 1 cawan sup untuk mengisar.

Langkah 4 :
1. Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan bahan yang telah dikisar & tumis sebentar.
3. Masukkan 3 cawan sup & tomato sos. Masak sehingga mendidih & tutup api.

Langkah 5 :
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi & diselang-selikan dengan ayam.
2. Masukkan kuah sup (langkah 4).
3. Tunggu sehingga nasi masak & gemburkan dengan garfu.

Sedia untuk dimasak

Siap!

Bagi melengkapkan hidangan, sy sajikan dengan Acar Timun & Sos Tomato Salsa.

Acar Timun

1. Hiris timun, cili merah & bawang besar.
2. Campurkan garam, gula & cuka secukup rasa.

Ikut citarasa sendiri =)

Tomato Salsa
(resepi asal dari Noor Masni, tq!)

1 biji buah tomato
sedikit daun ketumbar
3 biji cili padi
1/2 biji bawang besar (dipotong dadu)
cuka, garam & gula

Caranya : Kisarkan semua bahan di atas & sedia untuk dihidang.

Jika dilihat pada resepi asal, warnanya lebih merah mungkin kerana dilebihkan tomato. Bergantung kepada citarasa masing-masing =)

Selamat mencuba!


Puding Caramel~


Salam 3 Ramadhan 1433H

Alhamdulillah, memasuki hari kedua berpuasa, sy masih berkesempatan untuk menyediakan juadah kegemaran suami. Tidak lain dan tidak bukan, antara menu wajib berbuka puasa adalah Puding Gula Hangus / Puding Caramel. Sy pernah buat dahulu, boleh lihat di sini. Tetapi, rupanya kurang cantik. Alhamdulillah, kali ini rupanya semakin cantik dengan resepi yang diolah sedikit.

Check it out!

Gula Hangus
4 sudu besar gula
Sedikit air

Puding
3 biji telur
1 tin susu cair
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula
2 sudu kecil esen vanila

Cara-caranya :
1. Panaskan pengukus.
2. Sediakan gula hangus dalam loyang (cairkan gula & tambah sedikit air di atas api kecil).
3. Blend telur sehingga kembang.
4. Masukkan susu cair & blend lagi.
5. Masukkan tepung jagung, esen vanila & blend lagi (jangan terlalu lama).
6. Tuang adunan dalam loyang.
7. Kukus selama 30-40 minit.

Sedia untuk dihidang!

Alhamdulillah, rasanya memang enak (",)


Saturday, 17 March 2012

Santapan buat suami =)


Salam

Sudah lama rasanya tidak buat entry tentang masak-memasak. Minggu lepas, sy berkesempatan pulang ke kampung menjenguk nenda berdua. Alhamdulillah, nenda sihat-sihat sahaja. Sebelum pulang, kami sempat menjengah ke Pekan Ahad. Dan suami membeli lala kegemarannya.

Hidangan buat suami; Lala Masak Lemak Cili Padi (antara favourite suami).
Senyum satu hari =)

Kemudian, sy pula yang teringin makan nasi lemak gara-gara terliur melihat gambar nasi lemak, huhu. Sudah lama tidak makan nasi lemak buatan sendiri. Hendak dijadikan cerita, disebabkan tiada daun pandan untuk dimasukkan ke dalam nasi lemak, maka sy gantikannya dengan sesudu kecil esen pandan (resepi sendiri, boleh la, hehe..).

Nasi Lemak Sambal Udang versi Jawa (sebab ada tempe, hehe).

Alhamdulillah atas kurniaan rezeki dari Allah s.w.t.

Tuesday, 6 September 2011

Sup Tulang Idaman Suami~

Salam 8 Syawal 1432H

Hajat di hati sebenarnya ingin mencoretkan kenangan di Aidilfitri. Tetapi memandangkan banyak gambar yang belum ditransfer lagi, maka hajat itu terpaksa ditunda. Alhamdulillah, hari ini sy sudah berada di Penang kembali. Baru sampai jam 10.40 malam tadi. Alkisahnya hari ini suami minta sy masak Sup Tulang untuk hidangan makan tengahari tadi. Semasa pulang beraya di Kelantan hari itu, suami sempat membeli tulang untuk dibawa pulang. Hendak dijadikan cerita, suami sy memang penggemar sup dan sup kegemarannya ialah Sup Tulang!

Untuk anak dara mama si comel Madihah, apabila sudah besar nanti bolehlah masakkan untuk abah ye. Cara memasaknya senang sahaja, seperti kita masak Sup Ayam. Cuma bezanya tulang perlu direbus sehingga lembut dahulu. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan 4 sekawan sehingga kuning. Kemudian masukkan bahan tumisan ke dalam tulang yang direbus tadi. Masukkan sup bunjut (tulang), kentang dan garam. Tunggu sehingga kentang empuk dan taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Kemudian bolehlah dihidangkan untuk abah bersama nasi panas. Senangkan sayang?


Suami makan sehingga menjilat jari, yang paling penting senyuman terukir di bibirnya. =) Madihah pun suka, banyak sungguh dia makan. Puas!

Tuesday, 23 August 2011

My first Pineapple Tart ~ Yummy!!~

Salam 24 Ramadhan

Bersiaran dari teratak bonda.

Alhamdulillah tahun ini kami adik-beradik berganding bahu membuat kuih raya sendiri. Mak kata tahun ini tidak mahu membeli satu pun kuih raya. Mak mahu setiap anak perempuannya membuat sekurang-kurangnya sejenis kuih raya setiap seorang. Fikir punya fikir, sy memutuskan untuk membuat Tat Nenas memandangkan inilah kuih raya kegemaran sy. Setiap tahun pasti akan sy beli tika menjelangnya Lebaran. Namun, buat pertama kalinya bagi tahun ini sy tidak membeli malah membuatnya sendiri. Em, sebenarnya bukan tidak pernah mencuba membuat kuih raya, pernah juga dua tahun lepas tetapi kurang menjadi, huhu.. Tambahan pula, masa tidak mengizinkan ketika itu.

Selepas meneliti beberapa resepi di internet, sy olah resepi sendiri. Campur tolak resepi yang ada, sy sesuaikan mengikut citarasa sy sendiri. Dan alhamdulillah ia menjadi! =)

Untuk membuat Tat Nenas, kita perlukan jem nenas sebagai inti dan pastry sebagai kulitnya. Untuk jem nenas, sy beli ready made pineapple paste (malas nak buat sendiri, leceh sebenarnya, huhu). Dan untuk pastry, inilah bahan-bahannya :

300 gm tepung gandum
250 gm buttercup
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
3 sudu besar gula
4 sudu besar tepung kastard
1 biji kuning telur (untuk hiasan)

Cara-caranya begini :

1. Pukul buttercup bersama gula dan kuning telur sehingga kembang.
2. Masukkan tepung gandum, tepung kastard dan esen vanilla ke dalam adunan.
3. Uli adunan sehingga menjadi doh yang lembut.
4. Cetak doh dengan menggunakan pencetak tat nenas di atas dulang.
5. Letakkan jem di tengah-tengah dan gulungkannya.
6. Sapukan kuning telur di atas tat nenas.
6. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 15-20 minit.



Dan hasilnya............. > > > > >




Inilah hasilnya untuk 3 adunan. Perlu buat lebih untuk dibawa pulang ke kampung suami juga. Letih juga buat kuih ini ye, huhu...

Alhamdulillah menjadi dan sedap =)

Tuesday, 9 August 2011

Buah Melaka pula...

Salam

Bersiaran lagi tentang juadah kegemaran suami ketika berbuka. Hari ini sy berkesempatan membuat kuih buah melaka @ kata suami 'onde-onde'. Kuih ini juga adalah kuih wajib bagi suami ketika Ramadhan, setiap hari pasti akan dibelinya. Daripada asyik membeli, lebih baik buat sendiri. Selain dapat berjimat, boleh dimakan sepuas-puasnya (itu yang penting!).

Resepinya memang mudah. Sy masih ingat lagi resepi ini sy belajar ketika di bangku sekolah rendah semasa aktiviti ko-kurikulum. Cuma campurkan tepung pulut dengan air daun pandan yang dikisar (atau pewarna hijau - tapi ibu sy tidak galakkan penggunaan pewarna) sehingga menjadi doh. Kemudian cubit sedikit dan bulatkan. Masukkan gula melaka di tengahnya dan rebus. Apabila buah melaka sudah timbul, maka itu petandanya sudah masak. Angkat dan gaulkan dengan kelapa parut yang telah dicampurkan sedikit garam. Mudah dan senang!

Tadaaaaaa! Dah siap.




Suami tersenyum di tepi dapur melihat sy menyediakan kuih kegemarannya, hehe =).

Em, esok nak buat kuih apa pula ye?

Friday, 5 August 2011

Puding Gula Hangus untuk berbuka...

Salam

Sebenarnya sejak hari pertama puasa lagi, my hubby sudah menyatakan keinginannya untuk makan puding gula hangus semasa berbuka nanti. Hendak di beli di bazar Ramadhan, rasa tidak berbaloi pula. Manakan tidak, sepotong puding sahaja mencecah RM2.50! Sangat mahal! Huhu... Dan hari ini sy berkesempatan untuk menyediakan kuih kegemaran merangkap kuih wajib bagi suami ketika berbuka puasa. Lebih jimat dan boleh makan sepuas-puasnya. =)

Dari pemerhatian sy, walaupun puding ini boleh didapati di seluruh negara dan boleh dibuat sendiri, namun ia agak sinonim dengan rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang. Sepanjang 3 tahun menyambung pengajian di sana, bukan hanya pada bulan Ramadhan, malah pada hari biasa juga puding ini ada di jual di serata tempat. Malah, kebanyakan penjual puding gula hangus di sekitar KL juga berasal dari sana. Mungkin kerana rasa puding yang sememangnya manis begitu dekat dengan rakyat di negeri Serambi Makkah itu =). Dan kerana itulah, my hubby memang sangat menggemari puding gula hangus!

Resepinya memang mudah. Untuk adunan besar (loyang berukuran 25cm), pukul 7 biji telur bersama 3 sudu kecil gula, setengah tin susu pekat (boleh kurangkan sedikit jika tidak mahu terlalu manis) & setengah tin (atau 1 cawan) air sehingga kembang. Masukkan 1 sudu besar esen vanilla dan pukul lagi.

Kemudian, panaskan 4 sudu besar gula (api kecil) sehingga gula bertukar warna keperangan. Tutup api, terus masukkan gula hangus tadi ke dalam loyang & ratakan di dasar loyang (kena masukkan cepat-cepat kerana gula cepat keras). Kemudian, masukkan adunan telur yang dipukul tadi ke dalam loyang yang telah diratakan gula hangus & kukus sehingga masak lebih kurang 30 minit. Setelah masak, terbalikkan dan sejukkan. Sedia untuk dihidang! Mudahkan?

Dan inilah Puding Gula Hangus sy! Mungkin rupanya agak kurang seri tetapi itu tidak begitu penting, yang penting rasanya yang sedap mampu membuatkan my hubby tersenyum puas! =)




Selamat Berbuka!

Thursday, 21 July 2011

Ayam Masak Merah~

Salam

Sekadar post suka-suka. Alkisahnya hari ini hari ulangtahun kelahiran suami sy. Beberapa hari sebelumnya sy berfikir juga nak masak apa untuk hari istimewa ini. Selalunya sy masakkan makanan kegemaran suami atau kami makan di luar. Tetapi kali ini, sy buat sedikit kelainan. Sy masak makanan kegemaran sy, Ayam Masak Merah! Mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang, tapi bagi sy, itulah makanan feveret sy! Dan suami makan dengan senang hati =) Alhamdulillah.



em, SELAMAT HARI LAHIR abg! Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki & semoga kita sekeluarga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah! =)

Sunday, 9 January 2011

Yummy!!~

Salam

Saya memang peminat coklat dan apa sahaja makanan yang berasaskan coklat - kek coklat, muffin coklat, biskut coklat, air coklat dll. Semalam, tiba-tiba saya rasa teringin untuk cuba membuat kek coklat kukus. Sebenarnya resepi ini sudah lama ada dalam simpanan saya cuma belum berkesempatan untuk membuat sendiri.

(Resepi diberikan oleh pengasuh Madihah di Ampang dulu)

Resepi yang sangat mudah untuk dicuba. Kenapa kukus? Sebab lebih senang, hehe.. Cara-caranya ialah campurkan 1 cawan serbuk koko, 1 tin susu cair, 1 cawan susu pekat, 3/4 cawan minyak masak dan 1 cawan gula pasir ke dalam periuk dan masak sebentar sehingga semua bahan-bahan tersebut larut. Tutup api dan biarkan sekejap.

Kemudian 1 suku cawan tepung kek diayak bersama 1 sudu teh serbuk penaik dan 1 sudu teh soda bikarbonat. 3 biji telur dipukul sehingga kembang.

Seterusnya masukkan tepung dan telur ke dalam campuran serbuk koko tadi. Gaul sehingga sebati. Masukkan adunan yang telah siap ke dalam acuan dan kukus selama 45 minit. Jangan lupa tutup acuan dengan kertas aluminium agar tidak dimasuki wap air.





Dah siap! Mudahkan?
(terlupa nak ambil gambar bila dah siap, tinggal sebiji baru teringat, hehe)

Saya sengaja memilih acuan yang lebih kecil untuk kelihatan seperti muffin~. Terpulang kepada citarasa masing-masing.

Yang penting, abah & Madihah suka..yummy~!! =)

Selamat mencuba & selamat menjamu selera!

Saturday, 8 January 2011

Menambat hati suami =)

Salam

Cara mudah untuk menambat hati suami. Walaupun ringkas dan senang, penangan air tangan si isteri yang menyediakan hidangan dengan senang hati untuk suami tercinta mampu untuk menambat hati dan perut suami. Ditambah pula jika hidangan tersebut adalah makanan kegemarannya =).

Alkisahnya, hidangan makan tengahari hari ini ialah makanan kegemaran suami. Kebetulan semalam ke Pasar Chow Rasta, sempat beli daging dan hati lembu. Dan inilah hasilnya...





Hati masak kicap + Daging goreng + Budu. Yang penting, suami suka! =)



p/s : hidangan untuk dua orang (sebab itu nampak sikit, hehe), Madihah makan pun tak banyak..sayur pula dah habis, lupa nak beli, jadi tiada sayur, hehe...

Total Pageviews