Thursday 19 June 2014

Kehilangan kali pertama...

Assalam

Hari ini adalah hari pertama mama bekerja semula setelah bercuti selama 2 minggu. Cuti yang tidak dirancang; cuti sakit. Dapat cuti memang seronok, tapi penyebab kepada cuti itu yang tidak seronok. Jika boleh, tidak mahu bercuti kerana sebab ini. Namun, apakan daya.. kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Mama kehilangan cahaya mata buat kali yang kedua.

Mengimbau kembali Jun 2013 - kehilangan kali pertama...

Ketika mama disahkan mengandung setelah lebih 4 tahun menunggu selepas kehadiran kak long Madihah adalah saat yang paling mengujakan! Mama seakan tidak percaya. Setelah kian lama menanti, akhirnya Allah menganugerahi mama akan nikmat mengandung sekali lagi. Waktu itu, kita sekeluarga tinggal di Penang kerana mama sedang melanjutkan pengajian di USM. Dan pada saat itu, mama telah pun berada di semester terakhir dan sedang menunggu saat-saat akhir untuk menamatkan pengajian. Ada kawan mama yang mengusik 'pandai pilih timing, elok je dah nak habis belajar'. Mama senyum sahaja.

Mama cuma check di klinik swasta, mama bercadang hendak buka buku pink di Ampang sebab cuma tinggal sebulan sahaja lagi kita akan balik semula ke Ampang. Masa itu, adik baby mungkin dah berusia 3 bulan, ok lah itu.

Pada awal fasa kehamilan, mama makan asid folik yang klinik bagi. Mama juga makan madu dan kurma sebagai tambahan. Dan mama juga minum susu kambing Hi-Goat. Kawan mama kata, boleh elak baby kuning selepas lahir nanti. Mama ada beli juga susu Anmum Materna untuk ibu mengandung, tetapi mama tidak sempat minum pun.

Mama cepat rasa penat. Tambah pula hari-hari berjalan kaki ke kelas. Sampai kelas, mesti mama mengah. Balik kelas, mama jalan balik perlahan-lahan. Tetapi mama tidak mengalami sebarang alahan. Mama juga tidak mengalami morning sickness.

Seminggu sebelum final exam, mama balik Meru. Hari yang mama nak balik ke Penang semula, kita sempat pergi makan kenduri dulu, tapi nasib tidak baik, mama keracunan makanan. Walaupun sakit perut, terpaksa juga mama gagahkan diri pulang ke Penang pada hari yang sama. Tiga empat hari juga mama sakit perut. Study week sambil menahan sakit. Hari pertama exam pun, mama masih berulang ke tandas.

Habis sahaja final exam, mama sambung semula mengemas barang untuk berpindah. Sebenarnya dari awal lagi mama sudah mula mengemas. Kemas sikit-sikit tak adalah penat sangat. Cuma tinggal seminggu sahaja lagi sebelum kita meninggalkan bumi Pulau Mutiara ini.

Dan ketika itu sebenarnya adalah saat-saat adik baby akan meninggalkan mama. Hari pertama bleeding, mama sudah rasa lain macam. Mama menangis dalam bilik air tanpa pengetahuan abah. Macam-macam perkara bermain dalam fikiran mama. Mama cuba untuk bertenang. Mama mula mencari info tentang pendarahan ketika hamil. Ada yang selamat dan tidak kurang juga sebaliknya. Mama semakin resah. Mama maklumkan pada abah, tok dan keluarga kita. Mama minta mereka doakan adik baby. Mama buat solat hajat, doa mama tidak putus-putus agar adik baby selamat.

Apabila check di klinik, doktor cuma nampak kantung tetapi doktor tidak mendengar denyutan jantung adik baby yang sepatutnya sudah kedengaran. Air mata mama bergenang kembali. Doktor minta mama datang semula jika pendarahan semakin banyak dalam tempoh seminggu.

Cukup lima hari selepas itu, bermulalah episod duka dalam diari mama. Mama bangun pagi dengan kain yang basah dan berwarna merah. Air mata mama jatuh mengalir laju.

Abah bawa mama ke Bahagian Kecemasan Hospital Pulau Pinang. Pemeriksaan dijalankan dan mama disahkan mengalami keguguran incomplete miscarriage kerana adik baby tidak keluar sepenuhnya dan mama perlu menjalani D&C. Doktor sempat tunjukkan janin adik baby kepada mama. Saat dan ketika ini mama cuba untuk menahan air mata dari jatuh lagi. Mama tidak mahu doktor, nurse, abah dan kak long Madihah nampak mama menangis. Mama hanya menahan sebak di dalam dada.

Saat mama dibawa ke bilik pembedahan, hati mama bertambah sayu. Mengenangkan adik baby yang telah pergi meninggalkan mama pada minggu ke 11. Mama tahan lagi air mata dari jatuh.Mama terus memohon kekuatan dari Allah.

Apabila telah selesai, mama ditolak semula ke wad. Sampai sahaja di katil mama, saat terpandangkan wajah abah dan kak long Madihah, hati mama tidak dapat menahan lagi. Air mata mama mengalir deras tanpa dipinta. Sehinggakan doktor dan nurse bimbang melihat keadaan mama yang tidak berhenti mengalirkan air mata. Mereka bertanyakan adakah mama berasa sakit, tetapi mama hanya mampu menggelengkan kepala. Tiada kata-kata yang mampu mama luahkan. Mama kehilangan adik baby saat mama benar-benar menantikan kehadiran adik baby selama hampir 4 tahun.

Sepanjang malam, tidur mama tidak lena ditemani air mata dan ingatan terhadap adik baby. Sukar untuk mama meluahkannya, hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa sakitnya menghadapi suatu kehilangan. Mujurlah mama masih punya kak long Madihah sebagai penyeri, terubat sedikit luka di hati mama.
  
Doa mama, semoga mama dapat berjumpa semula dengan adik baby di syurga. Doakan kesejahteraan mama, ye sayang.

Ingatlah bahawa mama sentiasa mengingatimu dalam tidur dan jagaku. Dan mama sentiasa menyayangi dan amat merinduimu anakku.Mama tidak sabar untuk bertemu denganmu sayang.

 Al-fatihah untuk anak kedua mama.


Total Pageviews