Sunday 25 December 2011

Our Journey~ (Part II)

Salam

Kembali bersiaran dari teratak bonda.

Sambungan kisah yang lepas. Memandangkan pilihan ketiga memerlukan bajet yang tinggi, maka sy juga turut mencuba pilihan keempat sebagai alternatif untuk pulang ke teratak bonda.

Dijadikan cerita, kali pertama menaiki keretapi bersama si kecil, sy dapat katil bawah, memang itu hajatnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan urusan sy, Madihah sudah pun tidur semasa dalam perjalanan ke stesen keretapi. Maklumlah, tiket pukul 11.00 malam, jadi memang wajarlah Madihah sudah tertidur. Sepanjang perjalanan, Madihah terus tidur lena. Bunyi bising keretapi langsung tidak mengganggu tidurnya. Kecuali jam 3.00 pagi, Madihah terjaga minta susu. Selebihnya, Madihah terlena dek ayunan dan lenggokan sang keretapi sehinggalah kami selamat sampai di KL Sentral.

Lain pula ceritanya di kala perjalanan pulang ke Penang, kami dapat katil atas dek kehabisan katil bawah. Mahu atau tidak, terpaksa juga digagahi. Seperti sebelumnya, Madihah sudah terlena ketika kami baru sampai di KL Sentral. Dengan sekuat tenaga, sy angkat Madihah ke katil atas, beg besar ditinggalkan di bawah. Sekali lagi Allah permudahkan, Madihah terus lena dibuai ayunan keretapi. Cuma sy tidak dapat tidur lena kerana risau dengan pergerakan si kecil.

Dari pengalaman di atas, perjalanan menaiki keretapi bagi saya adalah pilihan yang tidak merugikan. Lebih jimat dan masih selesa. Tambahan pula, menaikinya di waktu malam membolehkan kita memilih katil dan dapat tidur dengan selesa. Perjalanan yang panjang juga seakan tidak terasa apabila sudah asyik dibuai mimpi. Dan untuk pulang ke Penang selepas ini, sy akan menaiki keretapi sekali lagi. Tetapi yang pasti, sy mahukan katil bawah. Lebih luas dan lebih menjamin keselesaan.

Jom kita layan....








'Ala kulli hal, selepas ini saya tidak risau lagi sekiranya perlu pulang berdua bersama si kecil. Jika kewangan mengizinkan, tentulah akan memilih yang lebih pantas. Jika tidak, keretapi akan menjadi pilihan utama.

Pengalaman adalah suatu pengajaran terbaik! =)

Our Journey~ (Part I)

Salam

Bersiaran sempena cuti study week~
(orang bagi cuti untuk belajar bukan untuk bercuti, hihi)

Coretan kenangan buat anakanda Khairin Madihah >> Catatan perjalanan kami berdua :

Sejak berhijrah ke Pulau Mutiara, terkadang ada masanya saya pulang ke teratak bonda hanya berdua sahaja bersama si kecil lantaran suami tidak dapat pulang bersama kerana tuntutan kerja.

Isunya adalah - bagaimana untuk pulang berdua bersama Madihah?

1. Pulang menaiki kereta akan mengambil masa antara empat sehingga lima jam. Berdua dengan cek mek sahaja? Bukan tidak boleh tetapi agak susah (membawa kereta sambil melayan karenah cek mek terutamanya jika cek mek inginkan susu).

2. Pulang menaiki bas? Semestinya bukan pilihan utama kerana masa yang panjang dan keadaan yang agak kurang selesa jika membawa bersama si kecil.

3. Pulang menaiki kapal terbang? Pastinya sangat selesa dan cepat! Itu pun jika ada bajet lebih...

4. Pulang menaiki keretapi? Masanya agak panjang, tetapi jika mengambil coach katil dan Madihah tidur sepanjang malam, mungkin ia tidak menjadi masalah.

5. Pulang menaiki... sudah tiada pilihan.

Alkisahnya, pertama kali pulang berdua, saya memilih pilihan ketiga. Memikirkan ini adalah pertama kali pulang berdua tanpa abah, risau juga. Kali pertama naik flight, Madihah meragam juga, menangis dalam kapal terbang sehingga menarik perhatian semua penumpang & pramugari, huhu.. Nasib baik masa perjalanan tidak panjang, sabar sahajalah untuk seketika. Kali kedua, Madihah tertidur. Agak lega tetapi susah juga sebenarnya kerana terpaksa mengendong si kecil sambil menarik beg. Kedua-dua situasi ini berlaku ketika si kecil belum menginjak ke usia dua tahun.

Dan yang terkini, Madihah sudah berusia 2 tahun 8 bulan. Madihah sudah besar, tidak menangis mahupun tidur tetapi teruja! Sebelum naik, "Wah, kabam (kapal terbang)!! (Sambil menunjuk sepenuh perasaan, senyuman tidak lekang di bibirnya) Madihah suka? Suka! Suka!" Duduk di seat sebelah laluan penumpang, semua aktiviti orang lain ingin dilihatnya. Semasa turun, "Masyih, bye (kepada sang pramugari)". Selepas turun, "Bye kabam! Bye kabam! (berulang kali sambil melambai-lambai)".

Seronok melihat telatah si kecil yang semakin mengenal dunia di sekelilingnya. Pelbagai keletah dan aksi. Mujurlah Madihah tidak meragam. Good girl anak mama =)

Antara aksi-aksi awal si kecil....






Aksi-aksi terkini.....








Ada rezeki kita naik lagi ye sayang =)

Kita sambung cerita lagi di Part II!

Tuesday 6 December 2011

Hampir tiada masa...

Salam

Semester yang paling mencabar setakat ini. Subjek semakin berat. Tugasan semakin banyak. Dan paling menambahkan cabaran, hampir kesemua tugasan berbentuk kumpulan. Oh! Memang sangat memerlukan kesabaran dan kekuatan.

7 tugasan berkumpulan dan 3 tugasan individu. Memang hampir tiada masa. Tidur jam 2 pagi menjadi kebiasaan akhir-akhir ini, aduh..

Tidak boleh membuang masa, malam ini pun ada perjumpaan kumpulan. Perlu menyiapkan diri.

Jumpa lagi.

Total Pageviews