Friday 31 December 2010

Sayonara 2010

Salam

Hari ini adalah hari terakhir bagi Tahun 2010. Esok, kita semua akan melangkah ke tahun baru 2011. Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Jika kita tidak mengejar masa, maka masa akan memotong kita.

Mengimbas sejenak semua yang berlaku sepanjang Tahun 2010, terdapat beberapa perkara besar yang berlaku dalam hidupku :

1. Kerjaya
Memulakan kerjaya pada tahun ini dengan bos baru. Pengalaman baru, input baru, cara baru dan hasil yang baru. Sudah semestinya hasil kerja yang lebih mantap! Alhamdulillah, kerjaya berjalan dengan sebaiknya.



Dalam asyik bekerja, saya 'kehilangan' seorang rakan sekerja merangkap sahabat seperjuangan apabila dia bertukar ke kampung halamannya. Dialah rakan serumah, sebilik dan sepejabat ketika kami sama-sama mula melangkah ke alam kerjaya. Ketawa bersama dan menangis bersama. Kenangan indah bersamamu akan ku abadikan di satu ruang dalam hatiku =)



Menjengah ke pertengahan tahun, giliran saya pula 'meninggalkan' alam kerjaya buat seketika demi melanjutkan pelajaran untuk menambah ilmu di dada. Walaupun hati ini berat untuk meninggalkan semua yang ada setelah hampir 4 tahun berkhidmat, namun saya terpaksa demi mengejar cita-cita. Buat semua warga AADK Ampang, diri ini amat merindui kalian dan ingatlah bahawa saya akan kembali dan kita akan bersama-sama terus berjuang...



2. Belajar
Tarikh 03 Julai 2010 menyaksikan saya bergelar pelajar kembali. Mendaftar di Universiti Sains Malaysia dan mengambil bidang Sains Kemasyarakatan, saya sekali-kali tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. Semester 1 telah berjaya ditempuhi dengan keputusan yang sangat menggembirakan, syukur pada-Mu Ya Allah! Kini, saya berada di Semester 2 dan perjalanan ini masih jauh untuk sampai ke penghujungnya. Tempoh 3 tahun yang diperuntukkan akan digunakan sebaiknya demi memenuhi bukan sahaja impian saya, tetapi juga impian keluarga =).



3. Keluarga
Demi memenuhi tuntutan pembelajaran saya yang memerlukan saya berada sepenuh masa di USM, suami dan anak tercinta turut sama berpindah ke Pulau Mutiara. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan kami sekeluarga di sini. Walaupun jauh dengan saudara-mara, ada hikmah yang Allah berikan. Ternyata kami sekeluarga tidak menghadapi banyak keadaan yang sukar. Sekali-sekala dugaan datang menimpa, itu lumrah kehidupan. Namun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat membesar. Perasaan rindu pada keluarga dan suasana di kampung halaman sentiasa mekar dalam jiwa.



4. Tahun ini juga merupakan tahun pertama mengadakan Birthday Party buat puteri tersayang =) Bertempat di Pha-Pha Garden, Taman Melawati dan bertemakan merah, hitam & pink! Terima kasih buat yang sudi hadir. Khairin Madihah kini sudah berusia 1 tahun 8 bulan =)



5. Konvo adik-adik; Nadirah (no.5) dan Wajihah (no.6). Tetapi malangnya saya tidak dapat hadir untuk majlis kedua-duanya kerana berada di Penang. Apapun, Tahniah diucapkan!





Akhirnya, saya mengakhiri tahun ini dengan menghabiskan masa bersama ibu, suami, anak dan keluarga tercinta. Pulang ke kampung menjenguk tok dan wan, bercuti di Melaka bersama keluarga sebelah arwah ayah dan meraikan Hari Lahir ibu dan adik bersama di rumah adalah merupakah momen-momen indah yang pasti akan tersemat kukuh dalam hati ini.







Dalam melalui semua kegembiraan di atas, diri ini tidak pernah melupakan arwah ayah tersayang yang telah kembali ke rahmatullah 8 tahun yang lalu. Ya Allah, Kau tempatkanlah arwah ayahku di sisi-Mu, di kalangan hamba-Mu yang beriman. Kau ampunkanlah dosa-dosanya dan Kau berilah rahmat-Mu kepadanya, Amin ya Rabbal 'alamin...Al-Fatihah.

Selamat Tinggal 2010.

Monday 27 December 2010

Semester Dua

Salam

Hari ini 27/12/2010, bermulanya Semester 2 bagi Sidang Akademik 2010/2011. Pagi tadi, saya dah pergi daftar dengan kak Wahida. Kami ke PPSK, kemudian ke Pusat Bahasa dan akhirnya singgah di Anjung Budi untuk minum pagi + makan tengahari. Keluar dari Anjung Budi, kebetulan kak Rosmah & kak Ina baru sampai, sempat la bersembang sekejap. Sebulan tidak berjumpa, rasa rindu pula dengan suasana belajar.

Terimbas kembali ketika di Jaiputra dulu, terkenang semula teman-teman seperjuangan di situ. K.tiey, hani, k.ida, k.ina, k.zue, k.masni, dija & yg lain-lain...argh rindunya pada kalian semua....

Ok, kembali semula ke alam nyata. Tika ini saya berada di USM, Penang.
Esok, kelas pertama akan bermula. Melangkah ke semester baru, rasanya perlu ada AZAM baru =) Mungkin azam yang biasa-biasa seperti orang lain, tetapi yang pasti, saya ingin memulakan semester ini dengan persediaan yang lebih rapi. Seterusnya, belajar dengan lebih tekun dan melakukan semua perkara dengan lebih baik. Segala kelemahan dan kekurangan pada semester lepas perlu diperbaiki. Mudah-mudahan, semuanya akan berjalan dengan lancar, InsyaAllah.

Bittaufiq wannajah =)
Selamat Belajar!

Wednesday 8 December 2010

Jelajah Pulau Mutiara (Siri II)

Salam

Nampaknya siri penjelajahan ke Pulau Mutiara pada kali ini tidak kesampaian. Alkisahnya Ida terpaksa balik hari ini juga ke KL kerana ada hal yang tidak dapat dielakkan. Baru sahaja sampai petang tadi di Penang setelah bercuti di utara tanahair, terpaksa bergegas balik semula ke KL. Hajat di hati, penjelajahan itu akan dimulakan pada hari esok, tetapi memang tiada rezeki kami untuk meronda bersama.

Yang pastinya, misi kali ini tidak berjaya. Mungkin perlu merancang untuk siri penjelajahan pada masa yang lain pula. =(

Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

Apapun, terima kasih Ida kerana sudi bertandang ke Penang, dapat juga kita berjumpa walaupun sekejap. Sehingga kita berjumpa lagi pada lain masa =)


Monday 6 December 2010

HIJRAH

Salam

Apabila menyebut tentang Maal Hijrah, pasti kita semua akan mengaitkannya dengan perubahan. Dalam erti kata lain, berubah dari yang kurang baik ke arah yang lebih baik. Ucapan 'Salam Maal Hijrah' beserta doa dan harapan semoga hari esok dan seterusnya bakal dilimpahi dengan kebaikan dan keberkatan yang berganda akan mula kedengaran. Seiring dengan itu, pasti akan lahir juga azam ataupun niat tertentu untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan sempurna.

Sekadar mengimbas kembali, Hijrah bermaksud 'perpindahan' iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Jika kita melihat kepada sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, peristiwa hijrah yang berlaku adalah seperti berikut:

1. Hijrah ke Habsyah
Seramai 12 orang lelaki dan perempuan (12 sahabat), kaum muslimin yang awalnya bertemu di Mekah, telah berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan dari penganiayaan kaum Quraisy daripada Kerajaan Habsyah pada bulan Rejab 7 SH(614-615M). Tindakan ini dikenali sebagai Hijrah Pertama ke Habsyah. Dalam Bahasa Arab, Habsyah dalam perkara ini ialah Al-Habasha, iaitu dari mana "Abyssinia" berasal. Kemudian, mereka kembali semula ke Jazirah Arab setelah tiga bulan berhijrah kerana mendapat maklumat bahawa penganiayaan ke atas umat Islam telah berhenti.

2. Hijrah ke Madinah
Merujuk kepada sebuah perjalanan oleh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Mekah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy juga telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa selama 8 hari.

Hari 1 (Khamis, 26 Safar SH 1, 9 September 622)
Meninggalkan rumah di Mekah. Tinggal tiga hari di Gua Thur berdekatan dengan Mekah.

Hari 5 (Isnin, 1 Rabiulawal SH 1, 13 September 622)
Meninggalkan lingkungan di Mekah. Perjalanan ke daerah Yatsrib.

Hari 12 (Isnin, 8 Rabiulawal SH 1, 20 September 622)
Tiba di Masjid Quba di Madinah.

Hari 16 (Jumaat, 12 Rabiulawal SH 1, 24 September 622)
Kunjungan pertama ke Madinah untuk solat Jumaat.

Hari 26 (Isnin, 22 Rabiulawal SH 1, 4 Oktober 622)
Berpindah dari Masjid Quba ke Madinah.


Takwim Hijrah
Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Dalam Takwim Hijrah, asas kalendarnya adalah berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi.


Kini, Hijrah boleh diertikan sebagai 'perubahan'. Perubahan dari tiada kepada ada, dari sikit kepada banyak, dari rendah kepada tinggi dan dari kurang baik kepada lebih baik. Mengambil iktibar dari Sirah Nabi s.a.w. seharusnya kita berhijrah dari keadaan & tingkahlaku yang tidak selamat/tidak baik kepada suatu keadaan & tingkahlaku yang lebih baik dan selamat untuk menjalankan tugas sebagai hamba Allah; mengabdikan diri kepada-Nya dan tugas sebagai khalifah Allah; Amar Makruf Nahi Mungkar. Bersama-samalah kita melakukan perubahan ke arah mencapai keredhaan Allah s.w.t.


Tepuk dada, tanya Iman
Salam Maal Hijrah 1432.

Sunday 5 December 2010

Jelajah Pulau Mutiara (Siri I)

Salam

Hari ini Ida datang ke Penang dgn kawan dia & tidur di rumahku. Diorang nak bercuti di sini dan di utara tanahair. Petang tadi, sy pergi ambil Ida di Perhentian Bas Sg. Nibong, singgah sebentar di Tesco Extra Sg. Dua dan kemudian baru pulang ke rumah.

Madihah nampaknya sangat manja dengan Aunty Ida. Asyik nak duduk atas riba aunty, nak minum air aunty, sampai aunty nak keluar pun Madihah nak ikut, hehe.. Mungkin sebab dah selalu jumpa dgn aunty, itu yg jadi manja sgt =).

Esok, sy akan hantar Ida ke airport. Mereka nak ke utara tanahair dulu. Hari Rabu nanti baru akan kembali semula ke sini. Dan pada hari itulah akan bermula ekspedisi kami menjelajah Pulau Pinang ini, tidak sabar rasanya menanti saat itu.

Ok, kita akan bercerita lagi mengenai apa yg menarik di Pulau Mutiara ini pada entry akan datang =).

Wednesday 1 December 2010

Cek Mek



Assalamualaikum
Memandangkan sekarang tengah cuti semester, jadi mama boleh duduk rumah dan meluangkan masa utk cek mek. Setiap hari mama main dgn cek mek, melayan cek mek dan menghabiskan masa dgn cek mek. Abah kerja, jadi mama masih ada di Penang, susah juga mama nak balik rumah tok kalu berdua dgn cek mek.

Kalau dulu masa mama bekerja, pagi-pagi lagi mama hantar cek mek ke rumah pengasuh, petang baru mama datang ambil. Sekarang bila mama sambung belajar, mama kena hantar cek mek ke nursery pula. Tapi sekarang, mama tgh cuti sebulan, jadi mama ada banyak masa utk cek mek!



Bila mama basuh pinggan, cek mek bergayut tepi sinki buat muka kasihan
Bila mama masak, cek mek berdiri tepi dapur takut kena minyak
Bila mama masuk bilik tidur, cek mek terus mengekor
Bila mama masuk bilik mandi, cek mek ketuk pintu berulang kali
Bila mama buka pintu, cek mek terus meluru
Bila mama tengok tv, cek mek duduk atas riba tengok sekali
Bila mama menghadap Allah, cek mek terus duduk atas sejadah
Bila mama nak makan, cek mek terus duduk depan hidangan
Bila mama ketawa, cek mek ikut suka
Pendek kata...
Bila mama pergi mana atau buat apa, cek mek mesti akan turut serta!
Dialah si jantung hati aka 'CEK MEK'

nukilan dari : MAMA

Total Pageviews