Tuesday 27 September 2011

Musafir di Aidilfitri~

Salam 30 Syawal 1432H

Sudah berada di penghujung Syawal barulah sy berkesempatan mencoretkan sedikit kenangan di Aidilfitri. Bukan kerana sibuk beraya tetapi mungkin kerana sibuk dengan sesi pengajian yang baru bermula.



Mari kita ikuti kisah sang musafir di Aidilfitri :

1. Pulau Pinang - Kedah

Sehari sebelum menjelang 1 Syawal 1432H, sy sekeluarga pulang ke kampung tok di Yan, Kedah. Seluruh anggota keluarga sy berada di kampung, memang sangat meriah. Sedari pagi kami bergotong royong mengemas rumah tok dan menyediakan juadah berbuka terakhir bagi tahun ini serta tidak dilupakan juadah di pagi raya.

Pagi 1 Syawal disambut dengan penuh gembira. Bermula dengan solat sunat Aidilfitri, sesi bermaafan dan seterusnya sesi ziarah menziarahi mengisi slot dari pagi membawa ke petang. Pada sebelah malam, masing-masing merehatkan diri yang kepenatan.

2. Kedah - Kelantan

Menjelang 2 Syawal, sy sudah siap berkemas untuk pulang ke kampung suami pula. Jam menunjukkan ke angka 10 pagi apabila kami memulakan perjalanan. Alhamdulillah, walaupun jumlah kereta meningkat di jalan raya, kami selamat tiba di Kelantan pada sebelah petang.

Keesokan harinya, kami meneruskan acara menziarahi saudara mara. Namun sedikit kecewa, jumlah kenderaan yang tersangat banyak membantutkan sedikit misi kami untuk terus beraya. Menjelang malam, sesi membakar sate pula mengambil tempat (sesi ini menjadi amalan tradisi di kampung suami setiap kali menjelang Lebaran).

Masuk hari ke-4 Syawal, kami mengadakan 'makan besar' bersama ahli keluarga. Sudah semestinya masakan di sebelah selatan Thailand menjadi menu utama. Bagi sy yang kurang arif, hanya mampu menolong sekadar yang mampu =).

3. Kelantan - Selangor

Seawal jam 4.00 pagi pada 5 Syawal sy sudah bersiap sedia untuk pulang ke teratak bonda. Kami sengaja memilih untuk bertolak di awal dinihari bagi mengelakkan tersangkut dalam ribuan kenderaan di jalan raya. Alhamdulillah, rancangan kami berjaya dan selamat sampai tanpa perlu menempuhi perjalanan yang panjang seperti tahun-tahun sebelumnya. Dan kami menghabiskan masa lebih kurang tiga hari untuk beraya di sekitar Lembah Klang.

4. Selangor - Pulau Pinang

Memasuki 8 Syawal, sy sekeluarga kembali semula ke Pulau Mutiara. Perlu menyambung kembali tugas setelah bercuti lama. Sy juga perlu mendaftar masuk ke semester yang baru.

5. Pulau Pinang - Kedah - Pulau Pinang

Memandangkan masih berada dalam mood hari raya, cuti hujung minggu diisi dengan menziarahi sahabat lama di Sg. Petani. Lama sungguh tidak bertemu, banyak cerita yang kami kongsikan.

6. Pulau Pinang - Selangor - Pulau Pinang

Minggu terakhir Syawal, sekali lagi sy sekeluarga pulang ke teratak bonda. Masih menikmati nikmatnya berhari raya, kami memenuhi beberapa jemputan rumah terbuka di samping menziarahi saudara terdekat.

Warna-warni di Aidilfitri.....












InsyaAllah, panjang umur murah rezeki kita akan berjumpa lagi di Lebaran yang akan datang =)

Monday 19 September 2011

Jelajah > Feri Pulau Pinang

Salam

Melanjutkan cerita mengenai laluan ke Pulau Mutiara, selain Jambatan Pulau Pinang, terdapat juga perkhidmatan feri disediakan bagi kemudahan orang ramai. Perkhidmatan Feri Pulau Pinang merupakan perkhidmatan feri tertua di Malaysia. Perkhidmatan feri terkenal ini menghubungkan Terminal Feri Pulau Pinang di Butterworth ke Terminal Feri Raja Tun Uda di Pelabuhan Quay di George Town.



Mengikut sejarah yang sy baca di Internet, perkhidmatan feri pertama di Pulau Pinang bermula sejak tahun 1894 oleh seorang pengusaha persendirian; Encik Quah Beng Kee dan saudara-saudaranya. Walau bagaimanapun, reka bentuk feri pada masa itu bukan seperti yang dapat disaksikan pada hari ini. Feri pada masa itu hanya merupakan lanci-lanci kecil yang menggunakan kuasa wap untuk berjalan dan hanya dapat mengangkut penumpang dan barang-barang yang terhad sahaja kerana pada masa itu masih belum ada kenderaan bermotor. Manakala lokasi pendaratan feri pada waktu itu adalah di antara Jeti Kedah di Pulau Pinang dan beberapa tempat pendaratan di Seberang Perai.

Kini, pelabuhan Pulau Pinang menyediakan perkhidmatan feri mulai jam 5.30 pagi sehingga jam 1.00 pagi. Feri-feri tersebut yang membawa penumpang pejalan kaki dan kenderaan di dek atas dan kenderaan di dek bawah tersebut berlepas dari terminal setiap lapan minit pada waktu puncak dan frekuensinya berkurangan menjelang tengah malam. Perjalanan feri mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk menyeberang selat sepanjang 3.2 kilometer.

Perkhidmatan feri ini beroperasi dengan lapan buah feri yang diberi nama Pulau Undan, Pulau Angsa, Pulau Rimau, Pulau Pinang, Pulau Payar, Pulau Kapas, Pulau Rawa dan Pulau Talang-talang.

Kadar tiket yang dikenakan adalah seperti berikut :

1. Pejalan kaki dewasa - RM1.20
2. Pejalan kaki kanak-kanak (5 hingga 12 tahun) ialah RM0.60.
3. Tiket Semusim (pejalan kaki) Dewasa : RM30.00 – sah dalam tempoh dua bulan sejak tarikh tiket dikeluarkan.
4. Penumpang istimewa Kanak-kanak sekolah : RM0.60
5. Kad Orang Kurang Upaya : Percuma
6. Kenderaan bermotorBasikal: RM1.40
7. Motosikal (termasuk pembonceng): RM2.00
8. Beca/pacuan tiga roda: RM3.00
9. Motokar (termasuk van, pacuan empat roda, kenderaan komersial pacuan tiga roda, motosikal dengan kereta sebelah): RM7.70
10. Lori (2 gandar dengan 4 roda): RM13.20
11. Lori (2 gandar dengan 6 roda): RM27.50

Sedikit gambaran suasana di atas feri.... Layannnn....











Gambar-gambar di atas diambil dalam dua versi : Madihah kecil dan Madihah besar!

Bagi sy, perkara yang paling seronok menaiki feri ialah dapat merasai tiupan angin yang sangat kuat! Tengok sahajalah rambut Madihah yang mengerbang ke atas itu! =)

Ok lah, tamat cerita mengenai feri, apalagi yang menarik di Pulau Mutiara ya? Oh sangat banyak, nanti akan diceritakan satu per satu.

What's next?

Saturday 17 September 2011

Jelajah > Jambatan Pulau Pinang

Salam

Cerita pertama mengenai penjelajahan di Pulau Mutiara - Jambatan Pulau Pinang! Tempat pertama yang perlu dilalui untuk ke Pulau Mutiara sudah pasti adalah jambatan ini.



Dari Lebuhraya Utara Selatan, papan tanda George Town dengan gambar jambatan menunjukkan arah ke jambatan ini. Sebaik memasuki jalan ke arahnya, terdapat plaza tol yang menunggu. Kadar tol bagi kenderaan biasa (kereta) bagi orang luar adalah RM7.00 dan RM5.60 bagi penduduk tempatan Pulau Pinang (dengan menggunakan Touch n Go @ Smart Tag). Bayaran tol hanya dikenakan pada laluan satu hala sahaja dan bagi laluan kenderaan yang keluar dari arah pulau ke tanah besar, tiada bayaran tol dikenakan. Tempoh masa melalui jambatan ini adalah lebih kurang 15 minit bergantung kepada keadaan trafik. Jika melaluinya pada waktu kemuncak, ia tidaklah selancar seperti yang diharapkan.

Sedikit maklumat hasil carian di Internet, Jambatan Pulau Pinang adalah merupakan jambatan yang terpanjang di Asia Tenggara dan ketiga terpanjang di dunia. Panjang jambatan ini kira-kira 13.5 kilometer di mana 8.4 kilometer daripadanya merentasi laut. Jambatan ini menghubungkan Lebuhraya Jelutong di Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan tanah besar semenanjung di Seberang Perai.

Kerja pembinaannya bermula pada tahun 1982 dan siap dibina pada tahun 1985, hanya memakan masa selama tiga tahun sahaja dan memakan belanja sebanyak RM 850 juta. Jambatan ini membawa kebanggaan kepada negara kerana ia diakui sebagai pencapaian kejuruteraan yang cemerlang di dunia. Ini adalah kerana struktur tengahnya merupakan antara jambatan kabel-penahan (cable-stayed bridge) yang terawal di dunia.

Jom kita layan...









Semua gambar diambil semasa sy mula menyambung pengajian di Pulau Mutiara =).

Coming up next : Feri Pulau Pinang!

Monday 12 September 2011

Tahun 2 Sidang 2011/2012

Salam

Alhamdulilah kita masih diberi nikmat kehidupan lagi sehingga ke hari ini.

Alkisahnya hari ini adalah hari pertama semester baru bagi Sidang Akademik 2011/2012 selepas lebih kurang empat bulan bercuti! Memandangkan sy sudah mendaftar subjek menerusi sistem pendaftaran online semasa tempoh cuti dahulu, maka hari ini tidak banyak aktiviti yang perlu sy lakukan.

Jika mengikut jadual, sy tidak mempunyai kelas hari ini. Tetapi sy tetap teruja untuk keluar mendaftar kerana sy perlu pergi ke pusat-pusat tertentu seperti Pusat Ko-Kurikulum dan Pusat Bahasa. Ada subjek yang hendak digugurkan dan ada subjek yang perlu ditambah. Namun, bukan itu sahaja, sy lebih teruja untuk melihat suasana sibuk di hari pertama dengan bilangan pelajar yang ramai yang berada di merata-rata tempat. Seronok pula melihat masing-masing sibuk mendaftar kursus, terutamanya bagi pelajar-pelajar baru. Oh ya, sy kini sudah menjadi senior, haha... Semasa berada di Tahun 1 dahulu pun sudah terasa tua, apatah lagi apabila menjadi senior, huhu...

Mari kita layan beberapa situasi di sekitar USM Penang...






Sudah lama rasanya tidak menggalas beg kesayangan ini, hadiah dari Ampang =)



Selamat kembali ke kampus dan selamat menjalani sesi pembelajaran di sidang yang baru!

Good Luck for us =)

Saturday 10 September 2011

Siri Penjelajahan Pulau Mutiara

Salam

Memasuki tahun kedua berada di Pulau Mutiara membuatkan sy terfikir untuk mencatatkan sesuatu sebagai kenang-kenangan di masa hadapan. Almaklumlah, sy hanya akan menetap untuk dua tahun sahaja lagi dan selepas tamat pengajian, sy akan kembali semula ke kampung halaman.

Berada di negeri orang membuatkan sy teruja untuk menjejaki setiap pelusuk tempat yang ada. Selagi sy masih di sini, peluang itu tidak akan disia-siakan. Rugi rasanya jika tidak mengambil peluang untuk melawat setiap tempat menarik di sini. Tambahan pula, banyak peninggalan sejarah di Pulau Mutiara ini.

Dalam perencanaan sy, beberapa siri catatan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut setiap kategori seperti tempat makan, tempat bersejarah, tempat beriadah dan sebagainya. Selain sebagai kenangan buat keluarga sy terutamanya si kecil, mungkin ia boleh dijadikan panduan buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Pinang atau bagi mereka yang ingin melawat tempat-tempat bersejarah di sini.


>> Sepintas lalu mengenai Negeri Pulau Pinang hasil carian di Internet;

Pulau Pinang ialah sebuah negeri yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia. Negeri ini merupakan petempatan British yang pertama di Semenanjung Malaysia. Nama pulau ini diambil daripada nama pokok Pinang.

Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis dan mempunyai bilangan penduduk seramai 1.5 juta orang. Dari segi geografi Pulau Pinang terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh Selat Melaka iaitu:

1. Pulau Pinang; sebuah pulau dengan keluasan 293 km persegi.
2. Seberang Perai; sejalur tanah seluas 760 km persegi yang bersempadan dengan Kedah di utara serta di timur dan selatan Perak.

Ibu negeri dan bandar terbesar di Pulau Pinang ialah George Town, dibuka pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light. George Town adalah bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. George Town adalah bandaraya tertua di Malaysia apabila Ratu Elizabeth II menganugerahkan taraf bandaraya pada 1 Januari 1957.

Manakala Butterworth pula adalah bandar kedua terbesar di Pulau Pinang. Butterworth hanya dipisahkan oleh Selat Utara dari George Town yang selebar 3km. Kedua-dua buah bandar ini juga terletak berdekatan dengan bandar-bandar satelit seperti Sungai Petani dan Kulim di Kedah, Kepala Batas, Bukit Mertajam, dan Batu Kawan di Seberang Perai serta bandar-bandar di utara negeri Perak. Bandar-bandar ini membentuk kawasan metropolis dengan jumlah penduduk melebihi 2 juta orang, menjadikannya kawasan metropolis kedua terbesar selepas Lembah Klang.

Terdapat lima daerah di Pulau Pinang iaitu Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Daerah Seberang Perai Selatan, Daerah Seberang Perai Tengah, Daerah Seberang Perai Utara dan Daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Jangan lupa, nantikan siri-siri penjelajahan sy dan keluarga di Pulau Mutiara!!

Sehingga bertemu lagi di lain masa =)

Tuesday 6 September 2011

Sup Tulang Idaman Suami~

Salam 8 Syawal 1432H

Hajat di hati sebenarnya ingin mencoretkan kenangan di Aidilfitri. Tetapi memandangkan banyak gambar yang belum ditransfer lagi, maka hajat itu terpaksa ditunda. Alhamdulillah, hari ini sy sudah berada di Penang kembali. Baru sampai jam 10.40 malam tadi. Alkisahnya hari ini suami minta sy masak Sup Tulang untuk hidangan makan tengahari tadi. Semasa pulang beraya di Kelantan hari itu, suami sempat membeli tulang untuk dibawa pulang. Hendak dijadikan cerita, suami sy memang penggemar sup dan sup kegemarannya ialah Sup Tulang!

Untuk anak dara mama si comel Madihah, apabila sudah besar nanti bolehlah masakkan untuk abah ye. Cara memasaknya senang sahaja, seperti kita masak Sup Ayam. Cuma bezanya tulang perlu direbus sehingga lembut dahulu. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan 4 sekawan sehingga kuning. Kemudian masukkan bahan tumisan ke dalam tulang yang direbus tadi. Masukkan sup bunjut (tulang), kentang dan garam. Tunggu sehingga kentang empuk dan taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Kemudian bolehlah dihidangkan untuk abah bersama nasi panas. Senangkan sayang?


Suami makan sehingga menjilat jari, yang paling penting senyuman terukir di bibirnya. =) Madihah pun suka, banyak sungguh dia makan. Puas!

Total Pageviews