Monday, 12 September 2011

Tahun 2 Sidang 2011/2012

Salam

Alhamdulilah kita masih diberi nikmat kehidupan lagi sehingga ke hari ini.

Alkisahnya hari ini adalah hari pertama semester baru bagi Sidang Akademik 2011/2012 selepas lebih kurang empat bulan bercuti! Memandangkan sy sudah mendaftar subjek menerusi sistem pendaftaran online semasa tempoh cuti dahulu, maka hari ini tidak banyak aktiviti yang perlu sy lakukan.

Jika mengikut jadual, sy tidak mempunyai kelas hari ini. Tetapi sy tetap teruja untuk keluar mendaftar kerana sy perlu pergi ke pusat-pusat tertentu seperti Pusat Ko-Kurikulum dan Pusat Bahasa. Ada subjek yang hendak digugurkan dan ada subjek yang perlu ditambah. Namun, bukan itu sahaja, sy lebih teruja untuk melihat suasana sibuk di hari pertama dengan bilangan pelajar yang ramai yang berada di merata-rata tempat. Seronok pula melihat masing-masing sibuk mendaftar kursus, terutamanya bagi pelajar-pelajar baru. Oh ya, sy kini sudah menjadi senior, haha... Semasa berada di Tahun 1 dahulu pun sudah terasa tua, apatah lagi apabila menjadi senior, huhu...

Mari kita layan beberapa situasi di sekitar USM Penang...






Sudah lama rasanya tidak menggalas beg kesayangan ini, hadiah dari Ampang =)



Selamat kembali ke kampus dan selamat menjalani sesi pembelajaran di sidang yang baru!

Good Luck for us =)

Saturday, 10 September 2011

Siri Penjelajahan Pulau Mutiara

Salam

Memasuki tahun kedua berada di Pulau Mutiara membuatkan sy terfikir untuk mencatatkan sesuatu sebagai kenang-kenangan di masa hadapan. Almaklumlah, sy hanya akan menetap untuk dua tahun sahaja lagi dan selepas tamat pengajian, sy akan kembali semula ke kampung halaman.

Berada di negeri orang membuatkan sy teruja untuk menjejaki setiap pelusuk tempat yang ada. Selagi sy masih di sini, peluang itu tidak akan disia-siakan. Rugi rasanya jika tidak mengambil peluang untuk melawat setiap tempat menarik di sini. Tambahan pula, banyak peninggalan sejarah di Pulau Mutiara ini.

Dalam perencanaan sy, beberapa siri catatan akan dibuat dari semasa ke semasa mengikut setiap kategori seperti tempat makan, tempat bersejarah, tempat beriadah dan sebagainya. Selain sebagai kenangan buat keluarga sy terutamanya si kecil, mungkin ia boleh dijadikan panduan buat mereka yang pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Pinang atau bagi mereka yang ingin melawat tempat-tempat bersejarah di sini.


>> Sepintas lalu mengenai Negeri Pulau Pinang hasil carian di Internet;

Pulau Pinang ialah sebuah negeri yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia. Negeri ini merupakan petempatan British yang pertama di Semenanjung Malaysia. Nama pulau ini diambil daripada nama pokok Pinang.

Pulau Pinang adalah negeri kedua terkecil di Malaysia selepas Perlis dan mempunyai bilangan penduduk seramai 1.5 juta orang. Dari segi geografi Pulau Pinang terbahagi kepada dua bahagian yang dipisahkan oleh Selat Melaka iaitu:

1. Pulau Pinang; sebuah pulau dengan keluasan 293 km persegi.
2. Seberang Perai; sejalur tanah seluas 760 km persegi yang bersempadan dengan Kedah di utara serta di timur dan selatan Perak.

Ibu negeri dan bandar terbesar di Pulau Pinang ialah George Town, dibuka pada tahun 1786 oleh Kapten Francis Light. George Town adalah bandaraya kedua terbesar di Malaysia selepas Kuala Lumpur. George Town adalah bandaraya tertua di Malaysia apabila Ratu Elizabeth II menganugerahkan taraf bandaraya pada 1 Januari 1957.

Manakala Butterworth pula adalah bandar kedua terbesar di Pulau Pinang. Butterworth hanya dipisahkan oleh Selat Utara dari George Town yang selebar 3km. Kedua-dua buah bandar ini juga terletak berdekatan dengan bandar-bandar satelit seperti Sungai Petani dan Kulim di Kedah, Kepala Batas, Bukit Mertajam, dan Batu Kawan di Seberang Perai serta bandar-bandar di utara negeri Perak. Bandar-bandar ini membentuk kawasan metropolis dengan jumlah penduduk melebihi 2 juta orang, menjadikannya kawasan metropolis kedua terbesar selepas Lembah Klang.

Terdapat lima daerah di Pulau Pinang iaitu Daerah Barat Daya Pulau Pinang, Daerah Seberang Perai Selatan, Daerah Seberang Perai Tengah, Daerah Seberang Perai Utara dan Daerah Timur Laut Pulau Pinang.

Jangan lupa, nantikan siri-siri penjelajahan sy dan keluarga di Pulau Mutiara!!

Sehingga bertemu lagi di lain masa =)

Tuesday, 6 September 2011

Sup Tulang Idaman Suami~

Salam 8 Syawal 1432H

Hajat di hati sebenarnya ingin mencoretkan kenangan di Aidilfitri. Tetapi memandangkan banyak gambar yang belum ditransfer lagi, maka hajat itu terpaksa ditunda. Alhamdulillah, hari ini sy sudah berada di Penang kembali. Baru sampai jam 10.40 malam tadi. Alkisahnya hari ini suami minta sy masak Sup Tulang untuk hidangan makan tengahari tadi. Semasa pulang beraya di Kelantan hari itu, suami sempat membeli tulang untuk dibawa pulang. Hendak dijadikan cerita, suami sy memang penggemar sup dan sup kegemarannya ialah Sup Tulang!

Untuk anak dara mama si comel Madihah, apabila sudah besar nanti bolehlah masakkan untuk abah ye. Cara memasaknya senang sahaja, seperti kita masak Sup Ayam. Cuma bezanya tulang perlu direbus sehingga lembut dahulu. Tumis bawang merah, bawang putih, halia dan 4 sekawan sehingga kuning. Kemudian masukkan bahan tumisan ke dalam tulang yang direbus tadi. Masukkan sup bunjut (tulang), kentang dan garam. Tunggu sehingga kentang empuk dan taburkan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Kemudian bolehlah dihidangkan untuk abah bersama nasi panas. Senangkan sayang?


Suami makan sehingga menjilat jari, yang paling penting senyuman terukir di bibirnya. =) Madihah pun suka, banyak sungguh dia makan. Puas!

Sunday, 28 August 2011

Salam Aidilfitri 1432 H

Salam 28 Ramadhan

Serasa pantasnya masa berlalu, kini kita tiba di penghujung Ramadhan. Sayu rasanya pabila Ramdhan akan pergi meninggalkan kita. Mudah-mudahan masih ada Ramadhan untuk kita di tahun-tahun hadapan.

Justeru, Syawal kian hampir. Dalam keghairahan menyambut Aidilfitri, semoga kita semua sentiasa dalam Rahmah Allah swt. Dan semoga kita sentiasa istiqamah dalam terus melaksanakan amal ibadah kepada-Nya.



Salam Aidilfitri, Maaf Zahir Batin dari kami sekeluarga;
Mursyidah, Riduan & Madihah~



>> Berhati-hati di jalan raya, ingatlah orang tersayang
>> Makan berpada-pada, jangan gelojoh sangat ye! =)

Wednesday, 24 August 2011

Wordless Wednesday ~ Cute

Salam

The cute one for my lil cutie ~




(",)

Tuesday, 23 August 2011

My first Pineapple Tart ~ Yummy!!~

Salam 24 Ramadhan

Bersiaran dari teratak bonda.

Alhamdulillah tahun ini kami adik-beradik berganding bahu membuat kuih raya sendiri. Mak kata tahun ini tidak mahu membeli satu pun kuih raya. Mak mahu setiap anak perempuannya membuat sekurang-kurangnya sejenis kuih raya setiap seorang. Fikir punya fikir, sy memutuskan untuk membuat Tat Nenas memandangkan inilah kuih raya kegemaran sy. Setiap tahun pasti akan sy beli tika menjelangnya Lebaran. Namun, buat pertama kalinya bagi tahun ini sy tidak membeli malah membuatnya sendiri. Em, sebenarnya bukan tidak pernah mencuba membuat kuih raya, pernah juga dua tahun lepas tetapi kurang menjadi, huhu.. Tambahan pula, masa tidak mengizinkan ketika itu.

Selepas meneliti beberapa resepi di internet, sy olah resepi sendiri. Campur tolak resepi yang ada, sy sesuaikan mengikut citarasa sy sendiri. Dan alhamdulillah ia menjadi! =)

Untuk membuat Tat Nenas, kita perlukan jem nenas sebagai inti dan pastry sebagai kulitnya. Untuk jem nenas, sy beli ready made pineapple paste (malas nak buat sendiri, leceh sebenarnya, huhu). Dan untuk pastry, inilah bahan-bahannya :

300 gm tepung gandum
250 gm buttercup
1 biji kuning telur
1 sudu teh esen vanilla
3 sudu besar gula
4 sudu besar tepung kastard
1 biji kuning telur (untuk hiasan)

Cara-caranya begini :

1. Pukul buttercup bersama gula dan kuning telur sehingga kembang.
2. Masukkan tepung gandum, tepung kastard dan esen vanilla ke dalam adunan.
3. Uli adunan sehingga menjadi doh yang lembut.
4. Cetak doh dengan menggunakan pencetak tat nenas di atas dulang.
5. Letakkan jem di tengah-tengah dan gulungkannya.
6. Sapukan kuning telur di atas tat nenas.
6. Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 180C selama 15-20 minit.



Dan hasilnya............. > > > > >




Inilah hasilnya untuk 3 adunan. Perlu buat lebih untuk dibawa pulang ke kampung suami juga. Letih juga buat kuih ini ye, huhu...

Alhamdulillah menjadi dan sedap =)

Total Pageviews