Sunday, 19 February 2012

Selangkah ke Perpustakaan...

Salam

Mungkin sudah ramai warga Selangor terutamanya warga Shah Alam sudah pun berkunjung ke perpustakaan baru atau nama komersialnya Perpustakan Raja Tun Uda. Ia terletak di Seksyen 13, Shah Alam dan berdekatan dengan Stadium Shah Alam. Sedikit info mengenainya :

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Alamat                      : Jalan Kelab Golf, Seksyen 13/6, 40100 Shah Alam, Selangor.
No. Telefon               : 03-55197667
Waktu perkhidmatan : Isnin                  > 10.00 pagi - 6.00 petang
                                  Selasa - Jumaat  > 9.30 pagi - 6.00 petang
                                  Sabtu & Ahad     > 9.30 pagi - 5.00 petang
                                  Cuti umum          > Tutup

Boleh lawati Laman web PPAS untuk malumat lanjut.

Menurut info, perpustakaan ini dirasmikan pada penghujung tahun 2011. Jika dihitung, ia masih dalam kategori baru. Melihat keseronokan dari maklumbalas beberapa orang teman yang membawa anak-anak kecil ke sana menyebabkan saya turut berasa teruja untuk merasai keseronokan yang sama. Nampak gayanya seperti menarik.

Hakikatnya, memang sangat menarik dan seronok! Berkesempatan ke PPAS pada penghujung bulan Januari yang lalu dengan membawa si kecil bersama bonda dan adinda bongsu merupakan suatu momen indah dalam dunia sy dan si kecil.

Bangunannya sangat besar, mempunyai 4 tingkat bagi ruangan dewasa dan mempunyai ruangan khusus bagi kanak-kanak. Pemandangannya juga sangat cantik kerana terletak bersebelahan dengan sebuah tasik yang mempunyai air yang jernih sehingga menampakkan ikan-ikan kecil berenang di dalamnya~.




Mula-mula, sy mendaftarkan diri dan si kecil sebagai ahli. Pendaftarannya percuma, tempoh sah laku selama dua tahun. Seusai pendaftaran, sy hanya sempat melihat dan mengagumi kecantikan serta kebesaran perpustakaan ini. Hendak naik ke atas, tidak boleh membawa si kecil. Sempat juga merakamkan beberapa momen indah di ruangan ini.


Kemudian, kami seterusnya ke bahagian kanak-kanak. Si kecil apa lagi, terus meluru masuk dan melihat sekeliling dengan perasaan teruja. Sy dan bonda merebahkan diri di bawah sebuah pohon hijau yang sangat besar sementara si kecil mula berlari-lari mengikut aksi beberapa orang kanak-kanak lain di situ. Ruangan ini tiada peraturan khusus; kanak-kanak boleh berlari, bercakap dan bermain sesuka hati. Pendek kata, mereka bebas membuat aktiviti masing-masing.


Kesimpulannya, kedatangan buat kali pertama bukanlah untuk membaca atau meminjam buku, tetapi lebih kepada meninjau tempat. Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan kami berada lebih lama di dalam perpustakaan kerana sudah menghampiri waktu tamat perkhidmatan. Tidak mengapa, kami boleh datang lagi di lain masa. Jika boleh, sy ingin lebih kerap ke sini membawa si kecil. Sambil bermain, si kecil boleh terdedah dengan persekitaran membaca. Semoga si kecil membesar menjadi generasi yang minat membaca, InsyaAllah.

Selangkah ke Perpustakaan, Sejuta Senyuman ~

Saturday, 18 February 2012

PRAKTIKUM 1

Salam

Alhamdulillah, saat ini sy telah selamat menyelesaikan tugasan pertama bagi subjek PRAKTIKUM 1. Masih ada tugasan kedua di PRAKTIKUM 2 nanti.

Pengalaman di JKM Petaling sememangnya indah untuk digambarkan. Banyak juga pengalaman bekerja yang sama tetapi dalam konteks dan skop yang berbeza. Banyak ilmu dan pengetahuan baru yang ditimba.

Mari sy kongsikan sedikit sebanyak perihal JKM. Ia adalah sebuah jabatan di bawah Kementerian Datuk Shahrizat (bak kata Dr. Zul; my lecturer). Teras perkhidmatan JKM ialah memberikan perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada kanak-kanak, orang kurang upaya, warga tua, orang papa, mangsa bencana, pertubuhan kebajikan sukarela dan keluarga. Pendek kata, JKM memberikan bantuan dan pertolongan kepada sebarang permasalahan yang menimpa anggota masyarakat sejak dari lahir sehingga ke usia tua.

Bermula dari hari pertama sehingga ke hari terakhir, banyak pengalaman baru yang sempat dikutip. Jom kita biarkan gambar berbicara =)

Hari pertama melapor diri~

Lawatan siasatan ke rumah pemohon bantuan

Lawatan ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti bagi kanak-kanak OKU

Menyiapkan laporan =)

Bersama salah seorang penerima alat bantuan

Lawatan ke Taska PLUS CDC

Bersama Pn. Sunarni & sebahagian warga PKMD Petaling

Hari terakhir praktikal~

Terima kasih semua! =)

Terima kasih diucapkan kepada Pn. Sunarni bt. Mastury; Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling dan semua warga kerja PKMD Petaling atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan. Semoga segala ilmu dan pengalaman yang ditimba dapat dimanfaatkan bersama di masa hadapan, InsyaAllah.

Ingin tahu lebih lanjut mengenai JKM, boleh lawati Laman Web JKM dan Blog JKM Petaling.
Boleh baca juga di sini dan juga di sini (catatan Blog PKMD Petaling).

Berkat Berjasa~

Saturday, 4 February 2012

Maulidur Rasul


Salam 12 Rabi'ul Awal

Alhamdulillah, dengan izin Allah, sy berkesempatan ke masjid bersama si kecil untuk menunaikan Solat Maghrib. Seusai solat, slot tazkirah diisi dengan Forum Maulidur Rasul. Antara panel yang dikenali; Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Sambil mengawasi karenah si kecil yang sudah mula berguling, sy sempat mencatit (dalam handphone?) sedikit ilmu yang disampaikan. Ayuh, sedikit pengisian untuk manfaat bersama:

MAULIDUR RASUL

Menurut sirah, orang pertama yang menyambut maulid Nabi s.a.w ialah Abu Lahab. Sejurus kelahiran Nabi s.a.w, Abu Lahab telah menyembelih kibas dan membuat kenduri kerana gembira dengan kelahiran Baginda s.a.w. Kini, saban tahun kita dapat melihat Sambutan Maulidur Rasul diadakan di seluruh negara. Adakah cukup hanya dengan sekadar sambutan sahaja? Pasti jawapannya tidak. Penghayatan tentang Sirah Nabi s.a.w perlu diutamakan. Antara perkara penting yang perlu diambil berat ialah :

1. Cinta kepada Nabi s.a.w.
Jangan hanya menyambut Maulidur Rasul sekadar satu upacara tahunan semata-mata. Perlu ada rasa cinta kepada Nabi s.a.w. Apabila sudah ada rasa cinta yang sebenarnya, maka kita tidak akan melakukan sesuatu perkara yang tidak disukai Nabi s.a.w.

2. Ucapkan cinta kepada Nabi s.a.w.
Jika sudah mencintai Nabi s.a.w., maka ia perlu diucapkan. Bukan mengucapkan I Love You, tetapi ucaplah selawat ke atas Baginda s.a.w sekerap yang boleh pada setiap hari.

3. Ikuti sunnah Nabi s.a.w
Lakukan semua perkara yang disukai Baginda s.a.w, secara tidak langsung ia menurut segala perintah dan suruhan Allah. Ikuti sifat-sifat wajib bagi Nabi s.a.w; Siddiq, Amanah, Tabligh & Fathanah. Juga contohi sunnah dan amalan Baginda s.a.w dalam kehidupan seharian.

Pengajaran yang sy peroleh:

1. Jika hanya menyambut Maulidur Rasul tanpa mengikut sunnahnya, ia sama seperti sambutan Abu Lahab.
2. Jika sesuatu sambutan itu dilengkapi dengan ketiga-tiga perkara di atas, maka sambutan tersebut akan menjadi lebih bermakna.
3. Sambutan Maulidur Rasul bukanlah menjadi suatu kewajipan, tetapi penghayatan tentang Sirah Nabi s.a.w. perlu diutamakan. Penghayatan diikuti usaha untuk mencontohi keperibadian mulia Baginda s.a.w. Allahu Akbar!

(Sampai di sini sahaja, Madihah sudah mula membuat bising dan mengganggu jemaah yang lain. Maka, sy perlu beredar walaupun forum masih rancak berlangsung, huhu..)



Ayuh, mari perbanyakkan selawat ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Allahummasolli'alasaiyidinaMuhammad.

Jelajah > Queensbay

Salam

Kembali bersiaran mengenai Siri Penjelajahan Pulau Mutiara. Kali ini, kita bercerita pula tentang QUEENSBAY! Tempatnya terletak tidak jauh dari USM, sekitar 10 minit perjalanan.

Dipendekkan cerita, Queensbay adalah sebuah tempat yang terletak di tepi laut dan berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang serta berhadapan dengan Pulau Jerejak. Tempat yang sangat santai, sangat sesuai untuk mengambil angin dan beriadhah bersama keluarga. Pemandangannya amat cantik dan disertai dengan tiupan angin yang mendamaikan tetapi awas, ia tidak sesuai untuk bermandi-manda.

Di sepanjang jalan, gerai-gerai kecil sudah sedia menunggu jika ada yang ingin mengisi perut sambil duduk menikmati keindahan ciptaan Allah. Manakala di seberang jalan pula, terletaknya sebuah kompleks membeli belah iaitu Queensbay Mall.

Tidak perlu bercerita panjang, jom kita layan...








Oh ya, jika bosan di rumah atau tidak tahu ke mana ingin dituju, di sinilah tempat kami sekeluarga menghabiskan masa dengan berkualiti! =)

Thursday, 26 January 2012

9 Tips untuk Wanita Melayu Terakhir~


Salam

Memanjangkan sebaran dari blog seorang sahabat; Jemari Asmara, input dari Dr. Yuliana Ayob (seorang Dental Surgeon). Berguna untuk diri, berguna untuk semua =)

9 TIPS UNTUK WANITA MELAYU TERAKHIR

1) Tahan mulut daripada terbuka ketika menguap. Semasa tahan, kemungkinan hidung akan mengembang. Cubalah tahan hidung daripada mengembang. Jika tidak boleh, tutuplah hidung.

2) Elakkan ketawa terbahak-bahak. Ketawa tanpa suara didengar. Kadang-kadang tidak perlu membuka mulut terlalu besar, cukuplah senyuman sebagai tanda gembira. Itu lebih manis.

3) Berjalanlah lurus dengan postur tegak, tetapi tidak perlulah terlalu mendada. Kawal kaki supaya tidak kengkang, tidak juga ke dalam. Jalan pantas dengan penuh keyakinan.

4) Pakai tudung dan baju yang mempunyai keseragaman warna. Elakkan warna yang terlalu terang. Pakaian berwarna gelap dan kosong serta tidak terlalu banyak corak menzahirkan keeleganan seorang muslimah.

5) Berdiri dengan gaya yang sopan. Duduk dengan gaya yang sopan. Bagaimana? Jangan kelam kabut. Susun pergerakan. Lihat dan perhati di mana letaknya tangan, di mana letaknya kaki.

6) Sentiasa senyum. Apabila dipandang oleh sesama jantina, berikan senyuman disertai dengan anggukan, dan lebih cantik lagi disertai dengan ucapan salam. Untuk yang berlainan jantina, sila tundukkan pandangan. Tetapi untuk majlis yang tertentu, adakalanya anda perlu bertindak profesional, tetapi masih meminimumkan pergaulan dengan mereka.

7) Pastikan setiap hari anda memakai pakaian yang baru. Jangan mengulang pakaian minggu lepas ke hari ini. Tukar sarung kaki setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar sarung tangan setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar anak tudung setiap hari. Pastikan yang baru. Tukar baju luar dan dalam setiap hari. Pastikan yang baru. Walaupun anda memakai pakaian tersebut hanya untuk 30 minit. Sama jugalah dengan tudung yang anda pakai. Elakkan mengulang-ulang. Kekadang tidak perlukan minyak wangi, baju yang baru memberi bau haruman kepada orang di sekitar anda.

8) Pastikan anda membawa cermin muka ke mana sahaja anda pergi. Selepas makan, pastikan tiada sisa makanan melekat pada gigi. itulah fungsinya cermin muka. Lihat juga ketika bila-bila masa yang anda rasa perlu. Contohnya di awal pagi ketika sampai di tempat kerja. Mungkin anda tidak perasan ada sesuatu di muka yang boleh memalukan anda.

9) Bercakap dengan nada yang lembut. Tidak perlu terlalu lembut. Tidak perlu pula terlalu membesarkan suara sehingga semua orang boleh kenal suara anda sejauh 1000 meter.

Renung-renungkan dan selamat beramal =)

Saturday, 21 January 2012

Separuh dari perjalanan...

Salam

Alhamdulillah, peperiksaan akhir bagi Semester 3 sudah berlalu. Tawakkal dan doa berterusan ku pohon untuk keputusan yang cemerlang. Semoga Allah memakbulkan doaku, amin...

Berakhirnya semester ini, bermakna sy telah melalui separuh dari perjalanan sesi pengajian kali ini. Masih ada tiga semester bersamaan dengan setahun setengah lagi yang perlu ditempuhi. Cuti semester kali ini sedikit berbeza dengan cuti sebelumnya kerana sy perlu menjalani Praktikal selama sebulan. Hal ini bermakna, tiada cuti yang sebenar kerana ia akan diisi sepenuhnya. Ini baru praktikal Siri 1, manakala Siri 2 pula akan mengambil tempat pada cuti semester bagi Semester 4 yang akan datang.

Mengundur sedikit ke minggu peperiksaan, sekadar ingin merakamkan detik-detik gembira bergelar pelajar, sy telah menerima Baucar Buku 1Malaysia berjumlah RM200. Alhamdulillah, dapat juga digunakan buat menambah ilmu di dada.



Buku pertama yang dibeli, bukan untuk sy seorang, tetapi lebih kepada sang puteri tersayang. Mama dan abah pun boleh tumpang sekaki. Satu keluarga boleh mendapat manfaatnya, insyaAllah. Syukur atas rezeki kurniaan Allah.





Kini, sy sedang menikmati cuti semester di teratak bonda bersama keluarga tercinta. Praktikal akan bermula sejurus selepas cuti Tahun Baru Cina. Walau sudah bekerja, rasa teruja dan risau terselit juga. Maklumlah, tempat baru, orang baru dan semestinya pengalaman baru! Semoga perjalanan sy dipermudahkan Allah s.w.t. Amin...

Sunday, 1 January 2012

Ahlan Wasahlan 2012



Salam tahun baru.

Mencoretkan tinta pada tanggal 01.01.2012 /
7 Safar 1433H. (Mencuri sedikit masa belajar, huhu)

Sayonara buat 2011, Ahlan Wasahlan buat 2012. Syukur pada Yang Maha Esa kerana masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini. Semoga tahun baru hadir bersama rahmah dan barakah dari Allah.

Sekadar coretan ringkas, antara perkara penting yang bakal ditempuhi seawal usia Tahun 2012 :

1. Final exam of this semester! Kurang seminggu lagi tarikhnya. Allahhumma yassir wala tu'assir. Bittaufiq wannajah. Semoga Allah memudahkan urusanku, Amin.

2. Seusai exam, Praktikum 1 pula menunggu. Harus mencukupkan 28 hari sepanjang cuti semester yang akan datang. Tempatnya? Masih menjadi tanda tanya.

Selamat Datang 2012. Semoga selamat semuanya =)

Total Pageviews