Salam
Alhamdulillah, Isnin lepas sy & suami serta si kecil berkesempatan pulang menziarahi nenda di utara tanahair. Kami sampai di kala jam menunjukkan hampir ke angka lima di waktu sore. Lebih kurang dua jam setengah sahaja lagi waktu berbuka akan tiba. Maka, sy terus menolong nenda menyiapkan juadah untuk berbuka puasa. Dan Pak njang sekeluarga turut sama memeriahkan suasana berbuka di rumah nenda.
Dalam perjalanan tadi, kami sempat singgah di bazar Ramadhan yang berdekatan. Juadah wajib suami, air tebu dan kuih buah melaka pasti dibelinya. Apa yang pasti harga makanan di kampung jauh lebih murah berbanding di Penang atau Meru. Air tebu asli (kaww punya tanpa ais) satu plastik cuma RM1.00. Jika di Penang, harganya melonjak ke RM2.00 @ RM2.50 (sangat mahal!). Kalau beli yang harga RM1.00, sudah pasti akan ditambah banyak ais dan rasanya sangat tawar, memang tidak berbaloi, huhu... Kuih buah melaka pula, satu peket (ada 5@6 biji) cuma 20sen! Di Penang, satu peket (4 biji) harganya 40sen. Sangat jauh bezanya! Hakikatnya Penang walaupun terletak di utara, namun harga makanan dan barang-barang runcit hampir setanding dengan KL. Mungkin ada yang murah sedikit tetapi rata-ratanya lebih kurang sama dengan KL.
Masuk hari kedua di kampung, tok perlu keluar bersama Mak njang atas urusan penting. Jadi, tugas memasak dan menyediakan juadah berbuka diambil alih oleh sy. Ayam masak kicap, sotong goreng kunyit, kerang rebus, sayur campur dan sambal udang siap untuk dihidangkan. Suami seperti biasa akan membeli air tebu dua plastik dan kuih buah melaka. Sejak tengahari lagi sy sudah 'berperang' di dapur. Untuk mengelakkan si kecil mengacau dan merengek kerana tidak dilayan, sy sediakan sebesen air dan kerusi kecil untuknya. Si kecil duduk di atas kerusi sambil menghadap besen air. Dan kemudian si kecil mula tenggelam dalam dunia kesukaannya, dunia air! Sambil-sambil sy masak, sy sempat melihatnya bermain air. Baju dan seluar memang tidak perlu diceritakan lagi, habis basah kesemuanya. Tidak mengapa, biarkan sahaja asalkan aktivitinya tidak memudaratkan.
Bercerita tentang tok dan tok wan pula, syukur alhamdulillah kedua-dua nenda tercinta berada dalam keadaan sihat. Tok masih diberi kekuatan untuk menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh dan memasak walaupun fizikalnya semakin dimamah usia. Tok wan pula walau hanya mampu terbaring di atas katil, namun masih mampu mengingati dan berbual-bual dengan cucu dan cicitnya. Dan jika keadaan memaksa, tok wan mampu untuk bangun dan berjalan ke luar bilik. Terkejut juga tok apabila tiba-tiba tok wan bangun dan berjalan mencari bilik air. Dengan secepat kilat tok memimpin tok wan ke bilik air. Melihat tok dan tok wan yang semakin lanjut usianya, hati ini tersentuh. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada kedua-dua nenda tercinta. (terlupa nak ambil gambar terbaru tok & tok wan)
Berbalik kepada cerita kampung, satu perkara lagi yang seronoknya ialah semua 'perkakas' untuk memasak tidak perlu dibeli kerana hampir kesemuanya ada ditanam di belakang rumah tok. Sebut sahaja jika inginkan serai, lengkuas, daun kunyit, daun limau purut, daun kucai, daun pandan, daun pisang (dan pokoknya), kangkung, kelapa parut, santan, semuanya tidak perlu dibeli. Hanya ambil pisau dan potong bahagian mana yang diinginkan. Kecuali kelapa tidak boleh dipotong, perlu dikopek kulit dan diparut isinya =).
Ok lah, sekian dulu coretan pada kali ini. Sehingga berjumpa lagi =).
No comments:
Post a Comment