Salam
Hari ini adalah hari terakhir bagi Tahun 2010. Esok, kita semua akan melangkah ke tahun baru 2011. Rasa sekejap sahaja masa berlalu. Jika kita tidak mengejar masa, maka masa akan memotong kita.
Mengimbas sejenak semua yang berlaku sepanjang Tahun 2010, terdapat beberapa perkara besar yang berlaku dalam hidupku :
1. Kerjaya
Memulakan kerjaya pada tahun ini dengan bos baru. Pengalaman baru, input baru, cara baru dan hasil yang baru. Sudah semestinya hasil kerja yang lebih mantap! Alhamdulillah, kerjaya berjalan dengan sebaiknya.
Dalam asyik bekerja, saya 'kehilangan' seorang rakan sekerja merangkap sahabat seperjuangan apabila dia bertukar ke kampung halamannya. Dialah rakan serumah, sebilik dan sepejabat ketika kami sama-sama mula melangkah ke alam kerjaya. Ketawa bersama dan menangis bersama. Kenangan indah bersamamu akan ku abadikan di satu ruang dalam hatiku =)
Menjengah ke pertengahan tahun, giliran saya pula 'meninggalkan' alam kerjaya buat seketika demi melanjutkan pelajaran untuk menambah ilmu di dada. Walaupun hati ini berat untuk meninggalkan semua yang ada setelah hampir 4 tahun berkhidmat, namun saya terpaksa demi mengejar cita-cita. Buat semua warga AADK Ampang, diri ini amat merindui kalian dan ingatlah bahawa saya akan kembali dan kita akan bersama-sama terus berjuang...
2. Belajar
Tarikh 03 Julai 2010 menyaksikan saya bergelar pelajar kembali. Mendaftar di Universiti Sains Malaysia dan mengambil bidang Sains Kemasyarakatan, saya sekali-kali tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan. Semester 1 telah berjaya ditempuhi dengan keputusan yang sangat menggembirakan, syukur pada-Mu Ya Allah! Kini, saya berada di Semester 2 dan perjalanan ini masih jauh untuk sampai ke penghujungnya. Tempoh 3 tahun yang diperuntukkan akan digunakan sebaiknya demi memenuhi bukan sahaja impian saya, tetapi juga impian keluarga =).
3. Keluarga
Demi memenuhi tuntutan pembelajaran saya yang memerlukan saya berada sepenuh masa di USM, suami dan anak tercinta turut sama berpindah ke Pulau Mutiara. Alhamdulillah, Tuhan permudahkan urusan kami sekeluarga di sini. Walaupun jauh dengan saudara-mara, ada hikmah yang Allah berikan. Ternyata kami sekeluarga tidak menghadapi banyak keadaan yang sukar. Sekali-sekala dugaan datang menimpa, itu lumrah kehidupan. Namun, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat membesar. Perasaan rindu pada keluarga dan suasana di kampung halaman sentiasa mekar dalam jiwa.
4. Tahun ini juga merupakan tahun pertama mengadakan Birthday Party buat puteri tersayang =) Bertempat di Pha-Pha Garden, Taman Melawati dan bertemakan merah, hitam & pink! Terima kasih buat yang sudi hadir. Khairin Madihah kini sudah berusia 1 tahun 8 bulan =)
5. Konvo adik-adik; Nadirah (no.5) dan Wajihah (no.6). Tetapi malangnya saya tidak dapat hadir untuk majlis kedua-duanya kerana berada di Penang. Apapun, Tahniah diucapkan!
Akhirnya, saya mengakhiri tahun ini dengan menghabiskan masa bersama ibu, suami, anak dan keluarga tercinta. Pulang ke kampung menjenguk tok dan wan, bercuti di Melaka bersama keluarga sebelah arwah ayah dan meraikan Hari Lahir ibu dan adik bersama di rumah adalah merupakah momen-momen indah yang pasti akan tersemat kukuh dalam hati ini.
Dalam melalui semua kegembiraan di atas, diri ini tidak pernah melupakan arwah ayah tersayang yang telah kembali ke rahmatullah 8 tahun yang lalu. Ya Allah, Kau tempatkanlah arwah ayahku di sisi-Mu, di kalangan hamba-Mu yang beriman. Kau ampunkanlah dosa-dosanya dan Kau berilah rahmat-Mu kepadanya, Amin ya Rabbal 'alamin...Al-Fatihah.
Selamat Tinggal 2010.
4 comments:
selamat tahun baru 2011..Moga segala impian di tahun baru menjadi kenyataan..:)
Selamat Tahun Baru! InsyaAllah, amin...
teruskan berblogging :)
tq! =)
Post a Comment