Salam
Apabila menyebut tentang Maal Hijrah, pasti kita semua akan mengaitkannya dengan perubahan. Dalam erti kata lain, berubah dari yang kurang baik ke arah yang lebih baik. Ucapan 'Salam Maal Hijrah' beserta doa dan harapan semoga hari esok dan seterusnya bakal dilimpahi dengan kebaikan dan keberkatan yang berganda akan mula kedengaran. Seiring dengan itu, pasti akan lahir juga azam ataupun niat tertentu untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik dan sempurna.
Sekadar mengimbas kembali, Hijrah bermaksud 'perpindahan' iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Jika kita melihat kepada sirah Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, peristiwa hijrah yang berlaku adalah seperti berikut:
1. Hijrah ke Habsyah
Seramai 12 orang lelaki dan perempuan (12 sahabat), kaum muslimin yang awalnya bertemu di Mekah, telah berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan dari penganiayaan kaum Quraisy daripada Kerajaan Habsyah pada bulan Rejab 7 SH(614-615M). Tindakan ini dikenali sebagai Hijrah Pertama ke Habsyah. Dalam Bahasa Arab, Habsyah dalam perkara ini ialah Al-Habasha, iaitu dari mana "Abyssinia" berasal. Kemudian, mereka kembali semula ke Jazirah Arab setelah tiga bulan berhijrah kerana mendapat maklumat bahawa penganiayaan ke atas umat Islam telah berhenti.
2. Hijrah ke Madinah
Merujuk kepada sebuah perjalanan oleh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Mekah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy juga telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa selama 8 hari.
Hari 1 (Khamis, 26 Safar SH 1, 9 September 622)
Meninggalkan rumah di Mekah. Tinggal tiga hari di Gua Thur berdekatan dengan Mekah.
Hari 5 (Isnin, 1 Rabiulawal SH 1, 13 September 622)
Meninggalkan lingkungan di Mekah. Perjalanan ke daerah Yatsrib.
Hari 12 (Isnin, 8 Rabiulawal SH 1, 20 September 622)
Tiba di Masjid Quba di Madinah.
Hari 16 (Jumaat, 12 Rabiulawal SH 1, 24 September 622)
Kunjungan pertama ke Madinah untuk solat Jumaat.
Hari 26 (Isnin, 22 Rabiulawal SH 1, 4 Oktober 622)
Berpindah dari Masjid Quba ke Madinah.
Takwim Hijrah
Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Dalam Takwim Hijrah, asas kalendarnya adalah berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi.
Kini, Hijrah boleh diertikan sebagai 'perubahan'. Perubahan dari tiada kepada ada, dari sikit kepada banyak, dari rendah kepada tinggi dan dari kurang baik kepada lebih baik. Mengambil iktibar dari Sirah Nabi s.a.w. seharusnya kita berhijrah dari keadaan & tingkahlaku yang tidak selamat/tidak baik kepada suatu keadaan & tingkahlaku yang lebih baik dan selamat untuk menjalankan tugas sebagai hamba Allah; mengabdikan diri kepada-Nya dan tugas sebagai khalifah Allah; Amar Makruf Nahi Mungkar. Bersama-samalah kita melakukan perubahan ke arah mencapai keredhaan Allah s.w.t.
Tepuk dada, tanya Iman
Salam Maal Hijrah 1432.
No comments:
Post a Comment