Sunday, 31 July 2011

Salam Ramadhan Kareem

Salam

Ramadan Greetings,Ramadan Wishes
More Ramadan | Forward this Graphic

Alhamdulillah, Ramadhan bulan mulia menjengah lagi. Syukur kerana kita diberi kesempatan, ruang & peluang untuk terus beribadah dan merebut segala ganjaran yang dijanjikan oleh Yang Maha Esa.

Sekadar mengimbas kembali, solat sunat Tarawih adalah salah satu amalan yang sangat dituntut dalam bulan Ramadhan. Bukan sekadar mendapat ganjaran pahala, malah kita turut sama memburu malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan. Di bawah ini saya kongsikan fadhilat solat sunat tarawih sepanjang Ramadhan untuk panduan kita bersama.

Malam 1 : Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.

Malam 2 : Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.

Malam 3 : Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.

Malam 4 : Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5 : Allah s.w.t akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 : Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.

Malam 7 : Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.

Malam 8 : Allah s.w.t mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Malam 9 : Allah s.w.t akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.

Malam 10 : Allah s.w.t mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.

Malam 11 : Ia meninggal dunia dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.

Malam 12 : Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya.

Malam 13 : Ia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.

Malam 14 : Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah s.w.t tidak akan menyesatkan mereka.

Malam 15 : Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 : Allah s.w.t menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.

Malam 17 : Allah s.w.t menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-nabi.

Malam 18 : Malaikat akan menyeru "Wahai hamba Allah, sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati)".

Malam 19 : Allah s.w.t akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 : Allah s.w.t mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.

Malam 21 : Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.

Malam 22 : Ia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.

Malam 23 : Allah s.w.t akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.

Malam 24 : Allah s.w.t akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam 25 : Allah s.w.t akan mengangkat seksa kubur darinya.

Malam 26 : Allah s.w.t akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.

Malam 27 : Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.

Malam 28 : Allah s.w.t akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.

Malam 29 : Allah s.w.t akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.

Malam 30 : Allah s.w.t akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud) "Wahai hambaku, makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama Salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w yang bernama Al-Kautsar.


Semoga kita dapat beristiqamah dalam mengerjakan bukan sahaja solat sunat tarawih juga amalan-amalan sunat yang lain. Jadikanlah bulan Ramadhan Kareem ini sebagai langkah mengislahkan diri ke arah yang lebih baik dari sebelum ini. Semoga kita mendapat redha dari Allah & berada di bawah lembayung rahmah dan barakah Allah swt.

Wednesday, 27 July 2011

Wordless Wednesday ~ Chocolate

Salam

Presenting homemade chocolate by my sis =)










Em, sebenarnya ini kali pertama sy menggunakan istilah Wordless Wednesday. Istilah ini berasal dari mana ye? Saya lihat ramai kawan-kawan & adik sy mengunakan istilah ini dalam blog masing-masing. Any comments?

Tuesday, 26 July 2011

Wajah baru~

Salam

Alhamdulillah, new fresh look for my blog =) Credits to my sis for your help. Blog sy kini telah berwajah baru. Terdapat sedikit penambaikan sekadar untuk mengindahkan lagi blog kesayangan ini =).

Oh ya, kebetulan sy pulang ke teratak bonda minggu ini, melepaskan rindu kepada keluarga. Banyak juga perkara yg perlu dibincang & diselesaikan sambil bertukar angin =).

Ok lah, semoga blog ini akan terus berkembang mekar seiring usianya. Boleh dijadikan kenangan di masa hadapan, juga panduan bagi yang memerlukan.

Sehingga berjumpa lagi!

Thursday, 21 July 2011

Ayam Masak Merah~

Salam

Sekadar post suka-suka. Alkisahnya hari ini hari ulangtahun kelahiran suami sy. Beberapa hari sebelumnya sy berfikir juga nak masak apa untuk hari istimewa ini. Selalunya sy masakkan makanan kegemaran suami atau kami makan di luar. Tetapi kali ini, sy buat sedikit kelainan. Sy masak makanan kegemaran sy, Ayam Masak Merah! Mungkin kedengaran biasa bagi sesetengah orang, tapi bagi sy, itulah makanan feveret sy! Dan suami makan dengan senang hati =) Alhamdulillah.



em, SELAMAT HARI LAHIR abg! Semoga dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki & semoga kita sekeluarga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah! =)

Thursday, 7 July 2011

Cerita minggu ini...

Salam

Hujung minggu lepas, sy sekeluarga pulang ke kampung halaman suami di Pasir Mas. Lama sudah rasanya tidak pulang ke sana. Kebetulan di kampung ada kenduri saudara terdekat, kebetulan juga pulang pada musim buah, memang langkah kanan sungguh. Buah durian dan rambutan memang sudah banyak yang masuk perut, kali ini kami kenduri buah salak pula. Suami memang suka, feveret katanya =). Masakan tidak, dari kecil memang sudah menjadi makanan harian. Sekeliling rumahnya dipenuhi pokok salak.

Oh ya, ini gambar lama, ketika mak & adik memetik buah salak di kampung suami =)




Bercerita tentang buah, memang sy kenyang makan buah tiap-tiap hari. Almaklumlah sekarang memang musimnya. Mula-mula ke Pesta Durian di Balik Pulau, makan durian, rambutan dan nenas. Bukan setakat makan buah sahaja, durian yang dibawa balik pula dibuat tempoyak & pengat. Seminggu pulun makan durian, memang mengancam! =)




Balik ke kampung suami pula, pulun makan buah salak & kuini. Tapi sy lebih suka buah salak. Sehingga ke hari ini, buah salak yg dibawa pulang masih belum habis dimakan =).



Tetapi dalam keseronokan sy dan suami menikmati keenakan buah-buahan tempatan, si puteri cilik pula tidak menggemarinya. Pelik juga, puas disuap buah durian dan salak, semuanya ditolak. Cuma satu, buah rambutan sahaja yang dimakannya. Bukan setakat buah, dengan biji rambutan sekali dimakannya! Nasib baik sy perasan sebelum dimakan kesemuanya. Madihah..Madihah...




Kembali ke Pulau Mutiara, lain pula ceritanya. Mungkin kerana perubahan cuaca (di Kelantan selalu hujan dan cuaca pada waktu malam sangat sejuk, manakala di Penang memang cuacanya panas), hari ini masuk hari kedua si kecil demam, batuk dan selsema. Kasihan anak mama, tidak lalu makan dan asyik merengek sahaja. Mudah-mudahan Madihah cepat sembuh. Amin...



Sekadar mengimbas kembali wajah-wajah riang si kecil sebelum demam, ketika dalam perjalanan pergi dan balik dari Penang ke Kelantan =)






Semoga Madihah cepat sembuh, amin...

Friday, 24 June 2011

Kembali ke udara~

Salam

Hampir sebulan sy tidak menjengah ke sini. Hampir sebulan juga blog ini kesepian. Gara-gara laptop rosak dan internet bermasalah, sy tidak berpeluang bersiaran seperti sebelumnya. Huhu..

Alkisahnya, kehidupan seperti biasa. Sy masih lagi bercuti sempena cuti semester. Sudah kembali ke Pulau Mutiara. Ada juga pulang ke kampung di Yan berkumpul bersama sanak saudara.

Oh ya, minggu lepas sempena Hari Bapa, sy tidak berkesempatan menukilkan sesuatu yang telah sy karangkan. Sekadar luahan seorang anak yang merindui seorang bapa.

~ Mengimbau kembali ke Hari Bapa....

Hari ini semua orang gembira
Hari ini ramai yang bersuka ria
Hari ini semua meraikannya
Kerana hari ini adalah Hari Bapa

Dari jauh ku hanya mampu berdoa
Dari jauh ku pohon pada-Nya
Kepada Tuhan pemilik dunia
Tempatkan ayah di tempat yang mulia
Tempatkan ayah di sisi Yang Maha Esa

Walau ayah jauh di mata
Namun hati ini tidak pernah lupa
Pada si ayah yang banyak berjasa
Membesarkan kami satu keluarga
Jasamu ayah tiada tandingannya
Hanya Allah yang mampu membalasnya

Terima kasih ayah atas segalanya
Ku berdoa agar ayah damai di sana
Di bawah lembayung rahmat Yang Esa...

Namun hari ini ku masih gembira
Kerana ku masih punyai seorang bapa
Bapa kepada si anak dara
Dialah bapa juga suami tercinta...

SELAMAT HARI BAPA buat suami dan semua yang bergelar bapa!
Al-Fatihah buat semua bapa yang telah pergi, terutama buat ayahanda dan ayahanda mertua...Al-Fatihah...

Tuesday, 24 May 2011

Tragedi di pagi hari

Salam

Alkisahnya kejadian berlaku di pagi hari semalam...

Mama baru lepas mandikan si kecil. Mama pun sedang bersiap-siap untuk keluar. Seperti biasa, selepas menyiapkan si kecil, mama keluar dari bilik menuju ke dapur untuk menyiapkan susu untuk si kecil. Usai menyiapkan susu, mama kembali semula ke bilik. Beberapa langkah sebelum sampai ke pintu bilik, si kecil kelihatan memegang pintu dan terus menutupnya tanpa sempat mama masuk.

Dan di sinilah bermulanya tragedi itu. Pintu terkunci dan si kecil berada di dalam bilik! Hendak dijadikan cerita, tombol pintu itu sememangnya sudah rosak dan hanya orang di dalam bilik yang boleh membukanya jika pintu itu ditutup. Dan sekarang? Si kecil berada di dalam bilik. Jangankan hendak dibuka, tangan si kecil pun masih belum sampai untuk memegang tombol pintu. Aduh, macamana nak buat ni?

Mama mula berasa risau. Cuak. Cemas. Ya Allah, apa nak buat?? Puas dipulas tombol pintu, namun tidak terbuka. Oh ya, kunci! Mama segera ke bilik bonda, mencari kunci pendua bagi semua bilik di rumah ini. Jumpa. Mama segera kembali semula ke bilik. Dari dalam sudah kedengaran suara si kecil memanggil-manggil mama. Satu persatu kunci dicuba, namun pintu masih belum berjaya dibuka. Aduh, Ya Allah..tolonglah hamba-Mu ini. Kasihanilah anak kecil di dalam bilik ini Ya Allah...

Mama teringat tingkap! Dengan segera mama berlari ke luar rumah. Harap-harap tingkap boleh dibuka. Ya, memang tingkap terbuka, tapi mama masih tidak boleh masuk dan si kecil masih tidak boleh keluar kerana ada jeriji besi. Mama nampak si kecil memukul-mukul pintu sambil memanggil mama. Aduh..hati mama terusik. Mama panggil nama si kecil. Semakin kuat si kecil meraung. Mama panggil lagi. Si kecil pun menoleh ke belakang dan terlihat mama. Segera si kecil menuju ke tingkap. Si kecil hulurkan tangan, minta mama mengangkatnya. Mama sambut tangannya, si kecil makin rapat ke tingkap. Mama tenangkan si kecil walau hati mama bergalang resah. Mama nampak pintu yang terkunci tapi mama tidak mampu membukanya.

Mama cari jalan, berfikir dan terus berfikir. Nak pecahkan pintu? Panggil tukang kunci? Potong jeriji besi? Aduh..nak buat apa ni? Mama dapat idea. Mama cari kayu dan tali. Sambungkan kayu dengan kayu supaya jadi panjang untuk dihulurkan ke dalam bilik sehingga mencapai pintu. Di hujung kayu mama lekatkan pemutar skru untuk mencungkil tombol pintu. Mama cuba dan terus mencuba. Tidak berjaya. Mama fikir lagi. Kemudian, mama buatkan susu untuk si kecil sebagai usaha untuk memujuknya. Mama bagi melalui tingkap. Aduh, sedihnya... Si kecil minum susu sambil baring dalam bilik.

Mama masuk semula ke dalam rumah, ambil pemutar skru dan tukul. Mama cuba untuk memecahkan tombol pintu. Mama ketuk dan terus ketuk, akhirnya tombol menjadi longgar. Mama cuba cungkil pintu tapi tidak berjaya. Mama ambil semua kunci tadi dan cuba buka sekali lagi. Satu persatu mama cuba. Akhirnya....................

Tiba ke kunci yang ketujuh, pintu terbuka! Syukuuurrrrrrrrr pada-Mu Ya Allah!!! Alhamdulillah. Mama terduduk. Si kecil terus meluru dan memeluk mama sambil menangis. Kasihan anak mama. Terima kasih Ya Allah kerana memudahkan urusanku. Tidak perlu pecahkan tombol, tidak perlu panggil tukang kunci, tidak perlu potong jeriji besi. Alhamdulillah.

Mama sangat bersyukur kerana dipertemukan semula dengan anak mama. Mama tengok jam, hampir sejam mama bertungkus lumus membuka pintu. Hampir sejam si kecil keseorangan memanggil mama. Pengajaran buat mama, mama perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengawasi pergerakan anak mama.

Pengajaran cerita ini : Sentiasa awasi anak-anak kecil terutama jika ada sebarang risiko yang diketahui. Apa yang penting, sentiasa perhatikan anak anda di mana sahaja dia berada!

Total Pageviews