Tuesday 24 May 2011

Tragedi di pagi hari

Salam

Alkisahnya kejadian berlaku di pagi hari semalam...

Mama baru lepas mandikan si kecil. Mama pun sedang bersiap-siap untuk keluar. Seperti biasa, selepas menyiapkan si kecil, mama keluar dari bilik menuju ke dapur untuk menyiapkan susu untuk si kecil. Usai menyiapkan susu, mama kembali semula ke bilik. Beberapa langkah sebelum sampai ke pintu bilik, si kecil kelihatan memegang pintu dan terus menutupnya tanpa sempat mama masuk.

Dan di sinilah bermulanya tragedi itu. Pintu terkunci dan si kecil berada di dalam bilik! Hendak dijadikan cerita, tombol pintu itu sememangnya sudah rosak dan hanya orang di dalam bilik yang boleh membukanya jika pintu itu ditutup. Dan sekarang? Si kecil berada di dalam bilik. Jangankan hendak dibuka, tangan si kecil pun masih belum sampai untuk memegang tombol pintu. Aduh, macamana nak buat ni?

Mama mula berasa risau. Cuak. Cemas. Ya Allah, apa nak buat?? Puas dipulas tombol pintu, namun tidak terbuka. Oh ya, kunci! Mama segera ke bilik bonda, mencari kunci pendua bagi semua bilik di rumah ini. Jumpa. Mama segera kembali semula ke bilik. Dari dalam sudah kedengaran suara si kecil memanggil-manggil mama. Satu persatu kunci dicuba, namun pintu masih belum berjaya dibuka. Aduh, Ya Allah..tolonglah hamba-Mu ini. Kasihanilah anak kecil di dalam bilik ini Ya Allah...

Mama teringat tingkap! Dengan segera mama berlari ke luar rumah. Harap-harap tingkap boleh dibuka. Ya, memang tingkap terbuka, tapi mama masih tidak boleh masuk dan si kecil masih tidak boleh keluar kerana ada jeriji besi. Mama nampak si kecil memukul-mukul pintu sambil memanggil mama. Aduh..hati mama terusik. Mama panggil nama si kecil. Semakin kuat si kecil meraung. Mama panggil lagi. Si kecil pun menoleh ke belakang dan terlihat mama. Segera si kecil menuju ke tingkap. Si kecil hulurkan tangan, minta mama mengangkatnya. Mama sambut tangannya, si kecil makin rapat ke tingkap. Mama tenangkan si kecil walau hati mama bergalang resah. Mama nampak pintu yang terkunci tapi mama tidak mampu membukanya.

Mama cari jalan, berfikir dan terus berfikir. Nak pecahkan pintu? Panggil tukang kunci? Potong jeriji besi? Aduh..nak buat apa ni? Mama dapat idea. Mama cari kayu dan tali. Sambungkan kayu dengan kayu supaya jadi panjang untuk dihulurkan ke dalam bilik sehingga mencapai pintu. Di hujung kayu mama lekatkan pemutar skru untuk mencungkil tombol pintu. Mama cuba dan terus mencuba. Tidak berjaya. Mama fikir lagi. Kemudian, mama buatkan susu untuk si kecil sebagai usaha untuk memujuknya. Mama bagi melalui tingkap. Aduh, sedihnya... Si kecil minum susu sambil baring dalam bilik.

Mama masuk semula ke dalam rumah, ambil pemutar skru dan tukul. Mama cuba untuk memecahkan tombol pintu. Mama ketuk dan terus ketuk, akhirnya tombol menjadi longgar. Mama cuba cungkil pintu tapi tidak berjaya. Mama ambil semua kunci tadi dan cuba buka sekali lagi. Satu persatu mama cuba. Akhirnya....................

Tiba ke kunci yang ketujuh, pintu terbuka! Syukuuurrrrrrrrr pada-Mu Ya Allah!!! Alhamdulillah. Mama terduduk. Si kecil terus meluru dan memeluk mama sambil menangis. Kasihan anak mama. Terima kasih Ya Allah kerana memudahkan urusanku. Tidak perlu pecahkan tombol, tidak perlu panggil tukang kunci, tidak perlu potong jeriji besi. Alhamdulillah.

Mama sangat bersyukur kerana dipertemukan semula dengan anak mama. Mama tengok jam, hampir sejam mama bertungkus lumus membuka pintu. Hampir sejam si kecil keseorangan memanggil mama. Pengajaran buat mama, mama perlu lebih berhati-hati dan sentiasa mengawasi pergerakan anak mama.

Pengajaran cerita ini : Sentiasa awasi anak-anak kecil terutama jika ada sebarang risiko yang diketahui. Apa yang penting, sentiasa perhatikan anak anda di mana sahaja dia berada!

2 comments:

Ummi Salsabila said...

Nervous odah membacanya.nasib baik madihah tenang je yer? tak pulak dia meraung2.:)

Mursyidah Ahmad Azam said...

fuh, sgt tragis...pengajaran!

Total Pageviews