Friday, 8 February 2013

Jelajah > Muzium Perang

Assalam

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menyambung catatan Siri Penjelajahan di Pulau Mutiara. Al-kisahnya semasa musim peperiksaan yang lalu, sy berpeluang menjejakkan kaki ke Muzium Perang Pulau Pinang. Sekian lama dirancang, asyik bertangguh sahaja. Akhirnya, seusai menduduki kertas peperiksaan yang pertama (masih ada baki tiga kertas lagi ketika ini, huhu), sy dan suami membuat keputusan serta-merta untuk pergi ke sini selepas menikmati hidangan tengahari.



Sedikit sejarah tentang Kubu Tentera di atas bukit ini :

Muzium ini terletak di selatan-timur Pulau Pinang. Ia adalah sebuah kubu perkasa tentera yang dibina pada tahun 1930-an oleh pihak British untuk melindungi pulau dari pihak musuh. Dibina dalam kawasan seluas 20 ekar tanah, ia adalah sebuah kubu bersepadu yang terletak di atas Bukit Batu Maung.

Kubu pemerhati

Kawasan muzium yang sangat luas

Welcome!!

Jurutera Diraja British dan tenaga kerja yang terdiri daripada pekerja tempatan telah meletupkan dan menggali bukit untuk mewujudkan sebuah kubu dengan terowong tentera bawah tanah, pusat perisikan dan logistik, dewan, pejabat, ruang pengudaraan, kawasan menembak, kuarters, rumah memasak dan rumah sakit.

Terowong 1
(Tidak punya keberanian untuk masuk, haha)

Kawasan menembak

Locker simpanan peluru

Menara tinjau

Terowong 2
(Oh, kami memberanikan diri untuk masuk dengan diiringi oleh pemandu pelancong dan beberapa orang pelawat yang lain. Tetapi, kami tidak pergi jauh dan kemudian berpatah balik, haha. Rupa-rupanya, terdapat terowong ketiga yang lebih kecil, sempit dan gelap di dalam terowong ini dan sesungguhnya kami tidak mempunyai keberanian untuk melaluinya, huhu)

Antara aktiviti yang disediakan selain melawat sekitar muzium adalah seperti pengembaraan mistik di waktu malam, merentas hutan dan parit, melalui terowong sepanjang 100 kaki, perkhemahan, paint ball, team building, war games dan lain-lain.

Paint ball


Menjelajahi sekitar Muzium Perang atau lebih tepat sebuah kubu pertahanan tentera pastinya membuatkan para pengunjung akan terkenang kembali mengenai kisah pertempuran, sejarah peristiwa dan detik-detik penting dalam Malaya semasa Perang Dunia Ke-II serta kehidupan askar British di kubu terbesar yang masih terpelihara.



Selepas puas menjelajahi kawasan kubu yang memenatkan lagi mendebarkan, para pengunjung boleh berehat di kawasan tempat duduk yang disediakan sambil menikmati keindahan alam semulajadi dan menyedut udara yang segar.

Peace (",)

Pesanan pihak penaja :
1. Jangan ambil sebarang benda selain gambar
2. Jangan tinggalkan sebarang benda selain tapak kaki
3. Dilarang membawa haiwan peliharaan, radio dan basikal ke dalam muzium
4. Dilarang merokok
5. Sentiasa berjalan mengikut laluan pejalan kaki yang disediakan
6. Pakai baju bewarna cerah
7. Pakai kasut yang selesa (sy pakai heels 2 inci pun sudah terasa sengal & lenguh)
8. Bawa bersama insect repellent, buku nota dan pen (sy tak bawa pun)

Waktu melawat :
Dibuka setiap hari
(9.00 pagi - 6.00 petang)

Tiket masuk  (warganegara) :
Dewasa - RM 20.00
Kanak-kanak - RM 10.00
Bukan warganegara - ada caj tambahan
Kamera - caj RM 2.00 (huhu)

Sama ada anda adalah pelawat dari luar negara atau penduduk tempatan, mungkin anda akan menemui sesuatu yang dapat menarik minat anda : Sejarah, budaya, peralatan tentera, artifak dan peninggalan sejarah atau keindahan kubu semata-mata.

Selamat datang ke alam pertempuran!

Peace! No war!
p/s :
Boleh google gambar Muzium Perang Pulau Pinang untuk melihat dengan lebih jelas suasana di dalam muzium. Juga boleh baca catatan tentang Muzium Perang di blog ini.

Pada pendapat sy, kanak-kanak amat tidak digalakkan untuk mengunjungi muzium ini atas beberapa sebab yang difikirkan relevan seperti kawasan muzium yang sangat luas dan berbukit akan menyebabkan kanak-kanak cepat letih, terdapat beberapa replika patung yang agak menyeramkan serta kawasan tinggalan perang di dalam hutan yang tidak sesuai untuk kanak-kanak (sebab itu sy hanya pergi berdua bersama suami).

Tuesday, 5 February 2013

Walimah Fadzliana

Assalam

Masih dalam mood bercuti semester. Agak lama juga menyepikan diri dari Teratak Khairynns.

Alhamdulillah, cuti baru-baru ini sy berkesempatan pulang ke teratak bonda. Sempat juga menghadiri walimah seorang saudara di Puchong.

Malas untuk bercerita panjang, sekadar potret kenangan untuk masa hadapan.

Menunggu ketibaan pengantin

Madihah yang masih mahu berdukung ^^

Model cilik mama~

Mak su & Mak uda~

Puteri kesayangan~

Upss, satu sahaja gambar pengantin...


SELAMAT PENGANTIN BARU BUAT FADZLIANA & ASHRAF

SEMOGA MAHLIGAI YANG DIBINA KEKAL BERKEKALAN SEHINGGA KE SYURGA

Tuesday, 1 January 2013

Selamat Datang 2013~

Assalam

Menjelang hari pertama di Tahun 2013.

Sy masih bergelar pelajar USM sepenuh masa. Dan kini berada di tahun akhir pengajian. Serta masih menjalani rutin seperti biasa.

2012?
Antara perkara besar yang berlaku : Kehilangan dan kelahiran.
Raya tahun lalu menyaksikan sy sekeluarga kehilangan arwah tokwan tersayang. Melihat keadaan tokwan yang semakin tenat dari AidilFitri, dan akhirnya pergi mengadap Ilahi sebelum menjelangnya AidilAdha. Al-Fatihah. Semoga rohmu tenang di sisi-Nya.

Dalam pada itu, kehadiran dua bayi comel dalam keluarga sedikit mengubat rasa kehilangan. Kelahiran Insyirah dan Nusaybah menambahkan lagi kegembiraan dan keceriaan semua. Melengkapkan cucu tok seramai 9 orang setakat ini. Dalam masa yang sama, tidak kurang juga menambah sedikit 'kekecohan'. Al-maklumlah, nama pun kanak-kanak. Haruslah sentiasa aktif dan riang!

ANIS AL-INSYIRAH

NUSAYBAH 'AALIYAH

Gaya seorang Kak Long. InsyaAllah, mudah-mudahan =)

Azam Tahun 2013?

Banyak yang akan berubah pada tahun hadapan. Status sebagai pelajar akan berakhir. Status sebagai ibu bekerjaya akan kembali mengambil tempat.

Banyak juga perkara yang diimpikan. Turut sama berdoa agar tok kembali sihat dan ceria. Dan semoga seluruh ahli keluarga berada dalam lindungan Allah.

Semoga bertambah murah rezeki, semoga beroleh keberkatan, semoga dalam kesihatan dan kebahagiaan. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan.

InsyaAllah, amin.

Sunday, 30 December 2012

Kenangan di AIDILFITRI 1433H

Assalam

Tidak mahu bercerita panjang, sekadar mengabadikan potret-potret kenangan di AidilFitri yang lalu~

 

 

 

 

 

Alhamdulillah, semoga dipanjangkan umur ke AidilFitri 1434H.

Memoir 3 November~

Assalam

Mengimbau kenangan dua bulan yang lalu............... >>>>>>>

Alhamdulillah thummal hamdulillah.

Tarikh bersejarah ini kembali lagi. Sudah genap 6 tahun hidup bersama. Semoga Allah terus merahmati dan memberkati perhubungan indah ini, insyaAllah, amin...

Pagi tadi, kami sekeluarga telah berkesempatan menghadiri Hari Ramah Mesra Hadhanah 2012. Seawal jam 9 pagi, kami sudah pun berada di Handhanah a.k.a nursery Madihah. Sempat mengisi perut seketika sebelum memulakan aktiviti sukaneka.

Madihah hanya masuk satu acara sahaja iaitu bawa bola ping pong dalam sudu. First time anak mama main sukaneka. Teruja sangat untuk melihat aksinya nanti. Upss, tetapi sebelum itu ada adegan air mata bila si kecil melihat kawan-kawannya menangis. Puas mama pujuk, akhirnya Madihah berjaya ditenangkan. Ada juga kawan-kawannya yang tidak turut serta. Sudahnya, hanya empat orang sahaja yang mahu bertanding. Jom kita lihat aksi si kecil...

 

Berkumpul dengan cikgu dan kawan-kawan Hadhanah.

 

Aksi sebelum bermula, Madihah satu kumpulan dengan Adib.

Alhamdulillah, Madihah dan Adib dapat No.1! Mama sangat bangga dengan anak mama!

 

Well done my dear! =)

Seusai acara bagi kanak-kanak, acara untuk ibubapa pula mengambil tempat. Mama dan abah masuk pertandingan kupas bawang putih menggunakan tangan. Laju juga abah kupas bawang, mama pula terpaksa kupas sambil pujuk Madihah yang sekali lagi meragam. Alhamdulillah, dapat juga No. 3 =).

Pulang dari Hari Ramah Mesra, semuanya pengsan. Kepenatan dalam keseronokan. Seronok kerana dapat meluangkan masa berkualiti bersama yang tercinta, alhamdulillah.

Menjelang malam, abah bawa mama dan Madihah menikmati makan malam di bawah sinaran rembulan. Makan di SS Station Seafood Jeti Pulau Jerejak. Sangat santai dan mendamaikan. Alhamdulillah atas kurniaan-Mu ya Allah.



Setelah 6 tahun bersama; Moon Light Dinner~ Alhamdulillah =)

Wednesday, 5 December 2012

Setia City Mall~

Assalam

Alhamdulillah, pada cuti pertengahan semester yang lepas, sy sekeluarga berkesempatan pulang ke teratak bonda. Hendak dijadikan cerita, teringin pula rasanya hendak menjejakkan kaki ke Setia City Mall yang baru dibuka beberapa bulan yang lalu. Lokasinya sangat dekat, hanya dengan lima minit perjalanan.

Terletak di Setia Alam dan berdekatan dengan Tesco, Giant dan Klang Sentral, ia sebenarnya adalah seperti pusat membeli belah mewah yang lain. Dipenuhi dengan segala macam kedai berjenama termasuklah pusat bowling dan panggung wayang, sememangnya ia menjadi tarikan kepada warga kota. Dilengkapi pula dengan landskap yang sangat menarik seperti pancutan air berwarna-warni, dataran menghijau yang luas serta taman permainan kanak-kanak, menjadikan Setia City Mall juga pilihan ibu bapa untuk membawa anak-anak bersantai dan beriadhah di hujung minggu.

Jom kita zoooommmmm seketika >>>>


Pandangan dari sebelah hadapan dan landskap di bahagian belakang 


                  Anak manja mama =)




      

              Bapak borek, anak rintik =)
   


 Si Jantung Hati =)

Madihah seronok, abah suka, mama gembira. Alhamdulillah.
^Great times inside and out^

Saturday, 1 December 2012

Singgang Daging & Daging Goreng~

Assalam

Hello my dear! Long time no see...huhu.. I'm sorry because I'm very busy for this moment. Got 7 assignments and 4 presentations to settle down. Fuuuhhhhhhh...

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menjenguk ke blog kesayangan. Banyak cerita yang bermain di kepala, cuma tidak punya masa untuk dizahirkan.

Jom kita mulakan dengan entry masak-memasak.

Kisahnya adalah rentetan dari Hari Raya AidilAdha yang lalu. Nama pun raya korban, sudah pastilah hidangan utama berasaskan daging lembu. Hampir dua minggu terkena penangan masakan daging, hehe..

Ceritanya bermula pada pagi raya haji. Tok korbankan seekor lembu dengan bahagian masing-masing. Masuk raya kedua, bermula episod makan daging dengan kenduri arwah buat tok wan. Gulai daging, rendang hati serta lidah & perut cicah air asam. Semua bahagian lembu pun nak makan, huhu...

Balik ke rumah seterusnya, makan pula sup tulang. Hatta makan di luar pun, nasi goreng daging dan nasi daging merah yang dipesan.

Dan akhirnya, tidak lengkap rasanya jika tidak dimasak hidangan kegemaran suami. Dan yang pastinya, hidangan kali ini punya sedikit kelainan.

Memperkenalkan........ >>>>>>

Singgang Daging

Ini adalah hidangan wajib tiap kali pulang ke kampung halaman cik abang. Selalunya kakak ipar yang akan masak dan sy bertindak selaku pembantu sahaja. Al-maklumlah, sy kurang arif mengenai masakan-masakan ala pantai timur. Tetapi hendak dijadikan cerita, raya haji kali ini sy punya keberanian untuk mencuba apabila diminta oleh suami. Resepi sudah ada, cuma tinggal diaplikasikan mengikut tunjuk ajar dari pakar, hehe...

Resepi warisan dari ibu mertua :

1/2 kg daging
5 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
5 tangkai cili kering
1 inci halia
1 inci lengkuas
2 sudu kecil biji ketumbar
2 keping asam keping
Garam secukup rasa

1. Hiris nipis daging dan rebus terlebih dahulu.
2. Hiris bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas dan cili kering (suami lebih suka bahan-bahan ini dihiris supaya warna kuahnya tidak akan menjadi merah)
3. Masukkan bahan-bahan yang dihiris, biji ketumbar yang telah ditumbuk, asam keping dan garam.
4. Masak sehingga daging empuk. Sedia dihidangkan.

Sebenarnya, ia tidaklah terlalu susah untuk disediakan. Caranya lebih kurang seperti memasak sup, cuma rasanya agak sedikit berbeza. Alhamdulillah, suami kata lulus seperti yang arwah bondanya masak. =)

Dan yang ini pula..... >>>>>>

 
Daging Goreng

Daging Goreng juga merupakan makanan ruji keluarga suami. Oh ya, inilah hidangan pertama dari Kelantan yang saya belajar masak. Biasanya apabila beli daging, sudah pasti hidangan ini yang didahulukan. Cara memasaknya juga sangat mudah dan senang. Sy pernah cerita di entry terdahulu daging goreng.

Jom kita lihat resepinya :

1/2 kg daging 
1 biji bawang kuning (Holland)
1 tangkai cili hijau/merah (resepi asal adalah cili hijau dari Kelantan)
1 biji kentang (sy tambah sendiri)

1. Hiris nipis daging dan rebus sehingga empuk (masak dalam kuali). Masukkan garam secukup rasa dan masak sehingga air rebusannya agak kering.
2. Kentang dipotong dadu dan digoreng seketika. Angkat dan ketepikan.
3.. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali daging tadi. Masukkan bawang kuning dan cili yang telah dihiris, goreng daging sehingga kelihatan agak garing sedikit.
3. Masukkan kentang yang telah digoreng dan gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

Dimakan bersama nasi panas dan cicah budu, memang suami makan nasi bertambah!

Alhamdulillah.


Total Pageviews