Thursday, 1 November 2012

Salam AIDILADHA~

Salam 16 Zulhijjah 1433H

Hampir seminggu berlalu, baru berkesempatan mengabadikan sedikit kenangan di AidilAdha. Alhamdulillah, tahun ini kami sekeluarga merayakan AidilAdha di Negeri Jelapang Padi. Rentetan satu kehilangan iaitu pemergian arwah tok wan tersayang menyebabkan kami sanak-saudara berkumpul di rumah nenda untuk menemani tok dan mengadakan kenduri arwah.

Sehari sebelum sinar fajar AidilAdha, kami sudah pun berada di teratak nenda. Usai mengerjakan Solat Sunat AidilAdha dan menjamah hidangan pagi raya, semua sanak-saudara bergotong royong membuat pelbagai persiapan untuk kenduri arwah pada Hari Raya kedua.

Corat-coret di AidilAdha (tema merah!) ~



 

 

 

Tahun ini juga, raya kami kekurangan beberapa anggota keluarga : kakak & abg ipar berpeluang menunaikan haji di Mekah (Alhamdulillah), adik lelaki tidak dapat pulang ke kampung & adik perempuan pula baru bersalin dan masih berpantang.

'Ala kulli hal, Alhamdulillah 'ala kulli ni'mah =).

Al-Fatihah buat arwah tok wan.

Wednesday, 24 October 2012

PRAKTIKUM II

Assalam

Mode : Baru selesai membuat presentation pagi tadi, terasa ingin berehat sebentar walaupun masih banyak assignment yang menunggu~

Ok, hari ini sy ingin bercerita tentang Praktikum II. Sebenarnya ia cerita lama, tetapi baru nak update~

Alkisahnya, tahun kedua di USM ialah sesi pembelajaran tanpa cuti panjang. Usai menjalani Semester 3, sudah ada Praktikum I yang menunggu. Habis sahaja Semester 4, Praktikum II pula menanti.

Dan, sy telah menjalani Praktikum II di Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) Ayer Hitam, Pulau Pinang selama tujuh minggu.

Sepintas lalu~
PAKK adalah sebuah perkhidmatan perlindungan bagi kategori kanak-kanak di bawah JKM. Penubuhan PAKK merupakan satu usaha yang menyeluruh, lebih sistematik dan berkesan dalam usaha mencegah kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak.

Objektif penubuhan PAKK adalah untuk menganjurkan program dan perkhidmatan sokongan bercorak pencegahan dan perlindungan terutama bagi kanak-kanak yang dianiaya oleh keluarga mereka.

PAKK berperanan sebagai tempat perlindungan untuk pelbagai peringkat umur kanak-kanak. Ia juga berperanan sebagai pusat advokasi, pusat sumber, pusat pembelajaran, pusat intervensi krisis, pusat sosial, sukan dan rekreasi.

Pengalaman di PAKK:
Untuk makluman, kanak-kanak yang hadir ke sini bukanlah mangsa penganiayaan keluarga, tetapi mereka menjadikan PAKK sebagai pusat pembelajaran dan pusat sosial untuk mengisi lapang dengan menjalankan aktiviti yang berfaedah.

Sehari sebelum melapor diri, sy bersama sahabat seperjuangan (Amalina) sudah pun menjalankan operasi menjejaki PAKK Kg. Melayu. Pada minggu-minggu pertama, tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan kerana bangunan PAKK masih dalam proses pengecatan semula. Kehadiran kanak-kanak di sini juga kurang memberangsangkan mungkin kerana tidak mempunyai aktiviti yang dapat menarik minat mereka.

Justeru, kami telah menganjurkan Program Hari Sukaneka Kanak-kanak untuk menarik kembali minat kanak-kanak dan kepercayaan ibu bapa terhadap kewujudan PAKK.

 


Menghitung minggu-minggu seterusnya, kehadiran kanak-kanak mula meningkat dan mereka semakin seronok menjalankan aktiviti di sini. Antara aktiviti yang telah kami lakukan bersama ialah melukis, mewarna, membaca buku cerita, membuat kerja sekolah, susun puzzle, bermain teka silangkata, bermain congkak dan carom, mencari kata tersembunyi, belajar nasyid dan mengaji Al-Quran. Antara kenangan manis ialah sy dipanggil 'kakak' walaupun ada di antara mereka seusia dengan Madihah - sangat terasa muda! =)


Walaupun bulan Ramadhan mula menjengah pada pertengahan praktikum, namun aktiviti tetap diteruskan untuk memberikan yang terbaik buat kanak-kanak di sini. Alhamdulillah, mereka tetap bersemangat untuk hadir ke PAKK.

Sepanjang menjalani praktikum, kami bukan sahaja beraktiviti dengan kanak-kanak tetapi turut sama dalam program-program komuniti setempat seperti Perjumpaan Mingguan Woman Institution, Majlis Pelancaran Mengecat Semula, Majlis Penyampaian Bantuan dan Majlis Berbuka Puasa.
 

Menjejaki hari-hari terakhir di sini, tidak dinafikan perasaan sayu untuk meninggalkan anak-anak kecil yang sudah semakin akrab sangat terkesan di hati. Namun, hubungan itu tidak berakhir setakat di situ sahaja. Kami telah kembali lagi untuk Majlis Sambutan Hari Raya. Terubat sedikit kerinduan di hati dan seronok melihat kegembiraan mereka.

Walaupun kami telah kembali semula ke USM untuk menyambung sesi pembelajaran baru, kami difahamkan mereka masih meneruskan aktiviti yang telah kami jalankan dahulu. Alhamdulillah.

Terima kasih sahabat^^

Monday, 10 September 2012

It's final year!!

Salam 23 Syawal 1433H

Alhamdulillah, diri ini masih diberi nikmat kehidupan untuk meneruskan sesi pengajian buat tahun yang terakhir di USM. Hujan yang turun hampir sepanjang hari seolah-olah membawa bersama rahmat dan perlindungan dari-Mu Ya Allah.

Memulakan sesi pengajian pada minggu ini, tidak dinafikan bahawa perasaan suka dan teruja memang menebal dalam diri tika dan saat ini. Bersemangat untuk meneruskan pengajian dengan lebih cemerlang. Semoga segala urusanku dipermudahkan oleh-Mu Ya Allah. 


SELAMAT DATANG WAHAI TAHUN KE-3!
Bittaufiq wannajah =)

Sunday, 9 September 2012

Anak manja Mama~

Salam 21 Syawal 1433H

Mode entry : Tiada kaitan dengan mode Syawal. Sekadar mengisi kesepian blog =)





Madihah : Sayang Mama!
Mama : Sayang Ha!

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR BATIN

Sunday, 22 July 2012

Resepi Nasi Arab Berempah~

Salam 3 Ramadhan 1433H

Semalam, sy telah menyediakan Nasi Arab Berempah untuk hidangan berbuka puasa seperti yang dicoretkan di sini. Jom kita lihat resepinya!

Nasi Arab Berempah
(resepi asal dari dec_sc_girl, tq!)

6 ketul ayam                                               2 sb rempah kurma
4 ulas bawang merah                                 1/2 cawan sos tomato
3 ulas bawang putih                                   2 sb minyak sapi
1 inci halia                                                 3 cawan beras basmathi
3 kuntum bunga cengkih                             5 cawan air
3 kuntum bunga lawang                             1/2 sb lada hitam
1 batang kulit kayu manis                          1/2 sk serbuk jintan putih
1 kiub ayam                                               1/2 sk serbuk jintan manis
1/2 biji bawang besar (dimayang)            garam & gula secukupnya

Langkah 1 :
1. Tumbuk kasar bawang merah, bawang putuh & halia.
2. Masukkan ayam, serbuk jintan putih, jintan manis, lada hitam, bunga cengkih, bunga lawang, kulit kayu manis, kiub ayam, rempah kurma, air & bahan yang ditumbuk ke dalam periuk.
3. Masukkan garam & gula. Masak sehingga mendidih & ayam masak.

Langkah 2 :
1. Basuh beras, rendam selama 20 minit & toskan.

Langkah 3 :
1. Apabila sup ayam telah siap, asingkan ayam & sup.
2. Bahan-bahan rempah kasar yang ada dalam sup tadi dikisar sehingga halus. Gantikan air dengan 1 cawan sup untuk mengisar.

Langkah 4 :
1. Panaskan minyak sapi dalam kuali. Tumis bawang besar sehingga layu.
2. Masukkan bahan yang telah dikisar & tumis sebentar.
3. Masukkan 3 cawan sup & tomato sos. Masak sehingga mendidih & tutup api.

Langkah 5 :
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi & diselang-selikan dengan ayam.
2. Masukkan kuah sup (langkah 4).
3. Tunggu sehingga nasi masak & gemburkan dengan garfu.

Sedia untuk dimasak

Siap!

Bagi melengkapkan hidangan, sy sajikan dengan Acar Timun & Sos Tomato Salsa.

Acar Timun

1. Hiris timun, cili merah & bawang besar.
2. Campurkan garam, gula & cuka secukup rasa.

Ikut citarasa sendiri =)

Tomato Salsa
(resepi asal dari Noor Masni, tq!)

1 biji buah tomato
sedikit daun ketumbar
3 biji cili padi
1/2 biji bawang besar (dipotong dadu)
cuka, garam & gula

Caranya : Kisarkan semua bahan di atas & sedia untuk dihidang.

Jika dilihat pada resepi asal, warnanya lebih merah mungkin kerana dilebihkan tomato. Bergantung kepada citarasa masing-masing =)

Selamat mencuba!


Puding Caramel~


Salam 3 Ramadhan 1433H

Alhamdulillah, memasuki hari kedua berpuasa, sy masih berkesempatan untuk menyediakan juadah kegemaran suami. Tidak lain dan tidak bukan, antara menu wajib berbuka puasa adalah Puding Gula Hangus / Puding Caramel. Sy pernah buat dahulu, boleh lihat di sini. Tetapi, rupanya kurang cantik. Alhamdulillah, kali ini rupanya semakin cantik dengan resepi yang diolah sedikit.

Check it out!

Gula Hangus
4 sudu besar gula
Sedikit air

Puding
3 biji telur
1 tin susu cair
2 sudu besar tepung jagung
1/2 cawan gula
2 sudu kecil esen vanila

Cara-caranya :
1. Panaskan pengukus.
2. Sediakan gula hangus dalam loyang (cairkan gula & tambah sedikit air di atas api kecil).
3. Blend telur sehingga kembang.
4. Masukkan susu cair & blend lagi.
5. Masukkan tepung jagung, esen vanila & blend lagi (jangan terlalu lama).
6. Tuang adunan dalam loyang.
7. Kukus selama 30-40 minit.

Sedia untuk dihidang!

Alhamdulillah, rasanya memang enak (",)


Saturday, 21 July 2012

Istimewa 1 Ramadhan & 21 Julai~

Salam 2 Ramadhan 1433H

Alhamdulillah, kita semua masih diberi kesempatan untuk bertemu bulan yang penuh barakah; Ramadhan Al-Mubarak. Kebetulan pula, 1 Ramadhan pada tahun ini jatuh pada tanggal 21 Julai. Tarikh yang penuh bersejarah iaitu Hari Lahir cik abang tercinta (",).

Sempena dua hari yang istimewa ini, sy sudah lama berfikir dan merancang untuk menyediakan suatu juadah berbuka puasa yang istimewa juga. Hasilnya...

Nasi Arab Berempah

yang dimakan bersama Acar Timun

dan sos Tomato Salsa

Tidak dilupa kuih kegemaran suami~ Onde-onde (Buah Melaka)

Alhamdulillah, cik abang cakap sedap dan boleh buat lagi (",).

Selamat Hari Lahir buat suami tercinta. Semoga kehadiran Ramadhan membawa sejuta rahmah dan barakah buat keluarga kita dan mendapat maghfirah dari Allah, InsyaAllah.

Selamat menjalani ibadah puasa buat semua muslimin & muslimat di luar sana =)

Total Pageviews