Monday 5 March 2012

Dugaan di Permulaan...

Salam

Tika ini baru sahaja menjelang minggu ketiga sy di Semester 4. Baru mendaftar dan baru memulakan sesi pengajian. Namun, sesuatu yang tidak terduga menjengah tiba.

Seawal hari kedua semester baru, sy telah menerima berita mengenai kemalangan yang menimpa bonda. Bonda terjatuh longkang di sekolah sehingga pengsan dan dihantar ke hospital menaiki ambulans, Allahuakbar! Terkejut, terkedu, bimbang, risau, resah...semuanya bergabung menjadi satu. Tanpa sedar mata bertukar merah dan pipi mula basah. Ingin sekali sy pulang pada saat dan ketika itu, tetapi sy berada jauh nun di utara dan suami pula sedang bekerja. Ditahan rasa hati, sabar sambil berdoa moga bonda dalam keadaan yang stabil.

Seusai menghadiri kelas pada tengahari Khamis (hari ke-4 sesi pengajian) dan kebetulan suami juga sudah bercuti, kami terus memecut laju pulang menjenguk bonda. Laju dari biasa, mengejar masa sebelum habis waktu melawat. Destinasi yang dituju; HTAR. Alhamdulillah, kami sempat sampai setengah jam sebelum habis masa melawat.


Melihat keadaan bonda membuatkan hati sy luluh. Kedua-dua tangannya patah dan perlu disemen, Allahhuakbar! Sedih, sayu dan pilu. Inilah dugaan dan ujian yang Allah berikan bukan sahaja buat bonda tetapi juga buat kami sekeluarga. Tika ini bonda sudah selamat menjalani pembedahan di tangan kirinya, alhamdulillah. Tangan kanannya pula akan sembuh sendiri kerana kecederaan yang dialami tidak serius. Hari kelima berada di wad, bonda dibenarkan pulang. Sy memutuskan untuk terus berada di rumah menjaga bonda untuk jangka masa seminggu.

Makan, minum, pakai dan segala-galanya perlu dilakukan untuk bonda memandangkan kedua-dua tangannya tidak boleh digunakan buat sementara waktu. Kami adik-beradik bersama-sama dan bergilir-gilir menjaga bonda. Dua hari sekali bonda perlu dibawa ke klinik untuk mencuci luka pembedahan.

Usai tempoh seminggu, hari terakhir berada di rumah, sebelum sy pulang semula ke Penang, sekali lagi dugaan tiba. Pada pagi Jumaat yang mulia, kala sy membawa bonda ke klinik untuk dressing, bacaan tekanan darah bonda yang agak tinggi untuk beberapa hari memaksa bonda dimasukkan semula ke wad. Sekali lagi bonda dibawa ke hospital menaiki ambulans, ya Allah! (Pertama kali sy menaiki ambulans).


Bonda ditahan semalaman. Rancangan untuk pulang terpaksa ditunda. Doa tidak putus-putus dipanjatkan ke hadrat Ilahi agar keadaan bonda kembali stabil. Alhamdulillah, keesokannya kami dimaklumkan bonda dibenarkan pulang ke rumah. Dan sy juga perlu pulang ke Penang kerana tuntutan kerja sang suami dan sy juga perlu meneruskan sesi pengajian yang tertangguh seketika.

Walau sy kini jauh dari bonda, ingatan sentiasa padanya, doa sentiasa dipohon dan khabar sentiasa ditanya. Semoga bonda semakin sihat dan terus dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah, amin...

No comments:

Total Pageviews