Tuesday, 9 April 2013

Menyedari kehadiran Madihah~

Assalam

Memulakan diari sang puteri dengan cerita semasa mama mula-mula disahkan hamil.

Usia perkahwinan mama & abah sudah memasuki 1 tahun 8 bulan saat mengetahui akan kehadiran Madihah. Sedikit lewat, tetapi itulah yang dinamakan rezeki. Semuanya telah ditentukan. Sedari itu, perasaan teruja dan gembira mula menemani mama & abah setiap saat dan ketika.

Mama masih ingat, momen indah itu berlaku semasa minggu kedua bulan puasa. Mama tiba-tiba rasa pening dan terasa seperti nak pitam. Badan mama seram sejuk, raya loya tetapi tak muntah. Apabila mama pergi check, Doktor terus scan dan Madihah rupa-rupanya sudah berusia 9 minggu! =)


Selepas itu, ingatkan mama boleh puasa sebulan penuh, tetapi mama terpaksa korbankan tiga hari sebab mama mula rasa tidak bermaya dan loya-loya. Mama juga masih ingat, masa minggu pertama puasa, mama rasa sangat letih dari biasa dan hari-hari mama minum air tebu semasa berbuka. Masa itu, mama belum tahu tentang kewujudan Madihah. Alhamdulillah, anak mama kuat dan tidak terjejas. 

Sekali lagi Alhamdulillah, mama tidak mengalami morning sickness yang teruk. Hanya berasa loya sekali-sekala. Dan hanya muntah apabila menaiki kereta untuk berjalan jauh selain dari pergi kerja (rumah kita dan tempat kerja mama hanya memakan masa 10 minit sahaja).

Mama juga tidak mengidam sesuatu yang pelik, tetapi mama sangat suka makan buah jambu batu. Abah cari sampai ke Pasar Chow Kit. Abah juga beli air soya berkotak-kotak untuk mama. Abah tak bagi mama minum milo. Tapi mama minum juga senyap-senyap =). Mama juga beli susu Anmum seawal trimester satu dan dua. Tetapi di pertengahan sehingga bersalin, mama minum fresh milk sahaja. Mama juga banyak makan kurma dan kismis untuk perkembangan minda dan peribadi Madihah.

Abah kata mungkin anak lelaki sebab mama suka tengok cerita adventure dan mama suka pakai kain pelikat abah. Dua kali mama pergi scan untuk tengok jantina Madihah. Doktor kata mungkin perempuan sebab tak nampak. Mama terima sahaja asalkan anak mama sihat. Ada satu gambar itu, kedudukan Madihah seperti sedang sujud. Alhamdulillah, masa itu mama berdoa semoga Madihah membesar menjadi hamba Allah yang sentiasa sujud kepada-Nya. (Nanti mama upload kemudian, kena cari dulu gambarnya).

Masa mula-mula mama dapat rasa tendangan Madihah, selalunya Madihah akan kejutkan mama pagi-pagi untuk pergi kerja. Dan sekali lagi mama akan dapat rasa tendangan Madihah bila mama lambat makan sarapan. Ada suatu ketika itu, mama perlu hadir mesyuarat seawal pagi dan mama tidak sempat untuk bersarapan. Hasilnya, Madihah tendang bertalu-talu sepanjang mama bermesyuarat. Kesian anak mama kelaparan. Habis sahaja mesyuarat, terus mama makan dan terus Madihah diam =).

Semasa mengandung, mama banyak pergi ceramah, berjumpa dan bercakap dengan orang ramai. Abah kata sebab itulah Madihah peramah dan banyak cakap sekarang. Banyak cakap tidak apa, tetapi haruslah  percakapan yang baik-baik dan bermanfaat ye sayang.

Sakit belakang, sakit perut, sakit kaki, tidak lena tidur, lenguh-lenguh badan, cepat letih dan yang sewaktu dengannya itu biasalah. Lumrah wanita mengandung. Mama tahan sahaja demi anak mama yang ditunggu-tunggu sekian lama. Walaupun sakit, tapi seronok. Seronok pertama kali merasa tendangan Madihah. Seronok mendengar bunyi degupan jantung Madihah. Seronok melihat gambar scan Madihah. Seronok melihat benjolan-benjolan manja di perut mama, mungkin siku, mungkin lutut atau kaki Madihah. Seronok dapat berinteraksi dengan Madihah. Apabila mama bercakap sambil mengusap perut, apabila mama membaca Al-Quran, apabila mama solat, Madihah seakan faham dan memberikan reaksi. Perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata, mungkin naluri seorang ibu. Itulah nikmatnya mengandung.

Di penghujung trimester ke-3. Sangat bam-bam =).

Satu perkara lagi yang mama tidak boleh lupa, dua kali mama kena warning dengan nurse masa pergi check up sebab overweight. Berat mama naik dua kali ganda untuk bulan tersebut. Jumlah keseluruhan sepanjang pregnant, berat mama naik 19 kg! Lebih dari yang sepatutnya. Mula-mula mama rasa kelakar juga sebab mama memang sentiasa kurang berat, tidak ideal dengan ketinggian. Tiba-tiba boleh overweight, merasa jugalah mama berdiet, semata-mata tidak mahu minum air gula. Alhamdulillah, diet berhasil dan berat naik seperti normal.

Mama dan abah dalam debaran~

Alhamdulillah, mama berjaya mengharungi tempoh kehamilan dengan baik. Suatu nikmat yang sangat disyukuri kerna bukan semua individu dapat merasainya. Doa mama, semoga mama dapat melalui pengalaman ini lagi dalam waktu yang terdekat. 

Mama sudah lama rindu untuk hamil semula!

Total Pageviews