Sunday, 19 February 2012

Selangkah ke Perpustakaan...

Salam

Mungkin sudah ramai warga Selangor terutamanya warga Shah Alam sudah pun berkunjung ke perpustakaan baru atau nama komersialnya Perpustakan Raja Tun Uda. Ia terletak di Seksyen 13, Shah Alam dan berdekatan dengan Stadium Shah Alam. Sedikit info mengenainya :

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS)
Alamat                      : Jalan Kelab Golf, Seksyen 13/6, 40100 Shah Alam, Selangor.
No. Telefon               : 03-55197667
Waktu perkhidmatan : Isnin                  > 10.00 pagi - 6.00 petang
                                  Selasa - Jumaat  > 9.30 pagi - 6.00 petang
                                  Sabtu & Ahad     > 9.30 pagi - 5.00 petang
                                  Cuti umum          > Tutup

Boleh lawati Laman web PPAS untuk malumat lanjut.

Menurut info, perpustakaan ini dirasmikan pada penghujung tahun 2011. Jika dihitung, ia masih dalam kategori baru. Melihat keseronokan dari maklumbalas beberapa orang teman yang membawa anak-anak kecil ke sana menyebabkan saya turut berasa teruja untuk merasai keseronokan yang sama. Nampak gayanya seperti menarik.

Hakikatnya, memang sangat menarik dan seronok! Berkesempatan ke PPAS pada penghujung bulan Januari yang lalu dengan membawa si kecil bersama bonda dan adinda bongsu merupakan suatu momen indah dalam dunia sy dan si kecil.

Bangunannya sangat besar, mempunyai 4 tingkat bagi ruangan dewasa dan mempunyai ruangan khusus bagi kanak-kanak. Pemandangannya juga sangat cantik kerana terletak bersebelahan dengan sebuah tasik yang mempunyai air yang jernih sehingga menampakkan ikan-ikan kecil berenang di dalamnya~.




Mula-mula, sy mendaftarkan diri dan si kecil sebagai ahli. Pendaftarannya percuma, tempoh sah laku selama dua tahun. Seusai pendaftaran, sy hanya sempat melihat dan mengagumi kecantikan serta kebesaran perpustakaan ini. Hendak naik ke atas, tidak boleh membawa si kecil. Sempat juga merakamkan beberapa momen indah di ruangan ini.


Kemudian, kami seterusnya ke bahagian kanak-kanak. Si kecil apa lagi, terus meluru masuk dan melihat sekeliling dengan perasaan teruja. Sy dan bonda merebahkan diri di bawah sebuah pohon hijau yang sangat besar sementara si kecil mula berlari-lari mengikut aksi beberapa orang kanak-kanak lain di situ. Ruangan ini tiada peraturan khusus; kanak-kanak boleh berlari, bercakap dan bermain sesuka hati. Pendek kata, mereka bebas membuat aktiviti masing-masing.


Kesimpulannya, kedatangan buat kali pertama bukanlah untuk membaca atau meminjam buku, tetapi lebih kepada meninjau tempat. Bukan tidak mahu, tetapi masa tidak mengizinkan kami berada lebih lama di dalam perpustakaan kerana sudah menghampiri waktu tamat perkhidmatan. Tidak mengapa, kami boleh datang lagi di lain masa. Jika boleh, sy ingin lebih kerap ke sini membawa si kecil. Sambil bermain, si kecil boleh terdedah dengan persekitaran membaca. Semoga si kecil membesar menjadi generasi yang minat membaca, InsyaAllah.

Selangkah ke Perpustakaan, Sejuta Senyuman ~

No comments:

Total Pageviews